GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga tempatan ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa selepas dipercayai mengamuk di rumahnya di Taman Desa Baru, Gelugor di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima daripada seorang wanita yang juga kakak kepada si mati.
Abdul Rozak berkata, wanita tersebut memaklumkan bahawa adiknya yang berusia 48 tahun itu mengamuk di rumah mereka kira-kira pukul 3.58 pagi.
“Apabila pasukan polis tiba di lokasi, lelaki itu bagaimanapun didapati telah terbaring dalam keadaan meniarap dan tidak sedarkan diri di bahagian dapur rumah.
“Pemeriksaan lanjut oleh petugas ambulans dari Hospital Pulau Pinang kemudian mengesahkan bahawa dia sudah meninggal dunia ketika itu,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rozak, siasatan awal mendapati, si mati mempunyai rekod penyakit mental dan bertindak agresif hingga mengancam keselamatan ahli keluarganya ketika kejadian.
“Bagaimanapun, lelaki tersebut dipercayai terjatuh ketika cuba ditenangkan oleh ahli keluarga sebelum tidak sedarkan diri,” jelas beliau.
Tambahnya, hasil bedah siasat oleh pakar forensik Hospital Pulau Pinang mendapati, punca kematian adalah disebabkan oleh ‘pulmonary oedema’ atau paru-paru berair dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan buat masa ini.-UTUSAN