BALIK PULAU : Seorang lelaki tempatan ditahan selepas satu rakaman video menunjukkan dia sedang melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, rakaman video berdurasi 30 saat itu dimuat naik oleh seorang pemilik akaun X kira-kira pukul 10 pagi semalam sehingga mencetuskan perhatian ramai.
Katanya, siasatan mendapati, kejadian itu berlaku di sebuah stor kedai mainan kanak-kanak secara dalam talian yang terletak di The Golden Triangle 2, Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas di sini.
“Mangsa dipercayai diganggu secara seksual oleh seorang lelaki tidak dikenali yang cuba mengajaknya untuk melakukan hubungan seks.
“Kejadian itu turut disaksikan oleh seorang lagi pekerja wanita serta dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit,” katanya di sini, hari ini.
Sazalee berkata, satu laporan polis bagaimanapun telah dibuat oleh majikan mangsa berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.17 tengah hari, Jumaat lalu di Balai Polis Bayan Lepas.
Beliau berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, polis seterusnya berjaya menahan suspek yang berusia 32 tahun itu di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Bayan Lepas, kira-kira pukul 5.58 petang semalam.
“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan dengan perkataan atau isyarat serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial memaparkan seorang lelaki secara tiba-tiba masuk ke dalam sebuah premis dan cuba berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang wanita.-UTUSAN










