KUCHING: Seorang lelaki berusia 32 tahun dikhuatiri menjadi mangsa terbaru serangan buaya di Kampung Lubok Punggor di Simunjan petang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Ahmad Alzadkhri Sudin dilaporkan sedang menjaring udang bersama keluarganya di sepanjang tebing sungai Lubok Punggor apabila reptilia itu menyerang kira-kira pukul 4 petang.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak berkata, pasukan mencari dari balai bomba Simunjan dan Kota Samarahan dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kawasan pencarian meliputi kira-kira 200 meter dari tempat kejadian ke kampung. Penduduk kampung sebelum ini cuba mengesan mangsa tetapi tidak berjaya.
“Pasukan kami kemudian mengumpul maklumat daripada saksi sebelum memulakan operasi,” kata Bomba dalam satu kenyataan.
Operasi mencari kemudiannya dibatalkan dan akan disambung semula hari ini. – UTUSAN