Lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Perak - Utusan Malaysia

Lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Perak

ANGGOTA bomba menyusur Sungai Perak bagi mencari lelaki yang dikhuatiri lemas selepas mandi di Sungai Baru Lambor Kiri, Bota.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi di Sungai Perak di Sungai Baru Lambor Kiri, Bota di sini kelmarin.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kehilangan lelaki berusia 27 tahun itu pada pukul 5.46 pagi tadi.

Berikutan itu katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Ketua operasi telah hadir ke rumah mangsa dan berjumpa dengan waris bagi mendapatkan maklumat kehilangan lelaki itu.

“Bapa mangsa memaklumkan anaknya tidak pulang ke rumah sejak Rabu setelah melakukan kerja menguruskan lembu peliharaan masuk ke kandang sekitar pukul 2 petang.

“Mangsa memaklumkan ingin mandi di sungai namun dia tidak pulang ke rumah sehingga hari ini dan hanya bajunya yang ditemui di lokasi tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketua operasi telah melakukan penilaian di lokasi tersebut dan mengaktifkan Pusat Kawalan Bomba (PKB) serta menempatkan bot air bagi kerja-kerja mencari dan menyelamat.

“Dengan mengaplikasikan konsep LAST, anggota melakukan pencarian di air menggunakan bot, dari Jeti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Teluk Sena menghala ke lokasi mangsa hilang di Kampung Baru Lambor Kiri.

“Jarak lokasi bot diturunkan ke lokasi mangsa hilang adalah tiga kilometer. PKB pula dipasang di Stesen Pam Lambor Kiri JPS,” katanya.

Tambah beliau, operasi turut disertai anggota polis dan persatuan nelayan menggunakan empat buah bot. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN