Lebih RM247 juta hasil kerajaan dapat diselamat menerusi Op Karen

Lebih RM247 juta hasil kerajaan dapat diselamat menerusi Op Karen

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih RM247 juta hasil kerajaan dijangka dapat diselamatkan hasil daripada kegiatan kartel dan penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak yang dibanteras Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Karen.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, buat masa ini, anggaran awal kerugian kepada hasil kerajaan
mencecah RM247 juta, namun jumlah itu dijangka meningkat selepas siasatan forensik kewangan selesai.

Beliau berkata, menerusi tindakan pemulihan dan penalti yang akan dikenakan kelak, pihaknya percaya kerajaan akan memperoleh semula jumlah yang lebih besar.

“Jumlah kerugian itu bagaimanapun tidak menggambarkan keseluruhan aktiviti penyeludupan bahan api negara ke luar negara.

“Jumlah kerugian RM247 juta ini akan menjadi lebih tinggi kerana jumlah ini diperoleh bagi tempoh 10 tahun sahaja dan ia berlaku di Sarawak sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya juga akui trend penyeludupan bahan api di Sabah masih berlaku dan sekiranya ia tidak dibendung, maka jumlah kerugian akan mencecah ke satu jumlah yang lebih tinggi.

Azam berkata, pihaknya mengakui bahawa aktiviti penyeludupan bahan api itu berpunca daripada harga diesel yang jauh lebih rendah di negara ini, selain amalan rasuah dalam kalangan penguat kuasa yang melindungi kartel berkenaan.

“Berdasarkan pengumuman terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, kita dapat melihat harga minyak Malaysia jauh lebih rendah dan murah berbanding negara-negara lain termasuklah Arab Saudi,” katanya.

Mengulas mengenai Op Karen, Azam menjelaskan, operasi itu berjaya dilaksanakan hasil kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan Jabatan Laut selain dibantu Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Setakat ini, katanya, sejumlah 498 akaun bank membabitkan nilai RM110 juta telah dibekukan dan lima unit vesel (RM52 juta), 4.5 juta liter minyak diesel (RM9.7 juta), sembilan unit jam tangan (RM1.2 juta), satu jongkong emas seberat 500 gram (RM260,500), 17 unit kereta mewah (RM5.6 juta) dan 40 bidang tanah (RM11.3 juta) telah disita.

“Risikan Op Karen dimulakan tahun lalu hasil sebelum ia dianalisis secara menyeluruh oleh bahagian risikan SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pusat Pencegahan Pengubahan Wang Haram Nasional (NFCC).

“Penyelewengan diesel dilakukan secara sistematik termasuk menggunakan kemudahan logistik seperti tanker dan sokongan daripada jaringan yang beroperasi dalam kawasan strategik seperti Bintulu, Sarawak.

“Kami tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu terlibat dan mengesahkan wujudnya penglibatan penjawat awam,” katanya.

Katanya, tindakan susulan akan diambil ke atas syarikat terlibat termasuk disenarai hitam, pendakwaan di bawah Akta SPRM, Akta Pengubahan Wang Haram dan siasatan oleh KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna) berhubung salah guna subsidi diesel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN