Lebih muatan: Hukum juga pemilik muatan

Lebih muatan: Hukum juga pemilik muatan

LORI yang membawa muatan berlebihan, antara punca berlaku kemalangan jalan raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu kemalangan jalan raya akibat jumlah muatan berlebihan tidak akan diselesaikan secara holistik jika tindakan hanya tertumpu kepada pemandu dan pemilik kenderaan berat.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Pemandu Lori dan Bas Perak, Hairi Md. Ali berkata,ini kerana punca masalah itu adalah pemilik muatan yang berkuasa menentukan kontrak syarikat logistik tersebut diterus atau diberhentikan.

Malah, katanya, pemilik muatan juga berkuasa menghalang pemandu daripada membawa muatan sekiranya mereka enggan patuh kepada arahan majikan atau melaporkan hal itu kepada pihak berkuasa.

“Jadi kami berharap ada tindakan sewajarnya oleh pihak kerajaan untuk menyelesaikan isu ini. Tak boleh terus menyalahkan pemandu sedangkan mereka makan gaji berdasarkan jumlah ‘trip’ dan muatan dibawa kerana mereka tiada gaji pokok.

“Sekiranya tiada kawalan terhadap pemilik muatan maka isu ini tidak akan selesai kerana tindakan perlu dilaksanakan kepada keseluruhan ekosistem barulah ada perubahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, muka depan akhbar ini membongkar realiti sebenar isu lebihan muatan yang kerap kali menjadi punca nahas jalan raya bahkan mengorban banyak nyawa pengguna yang tidak berdosa.

Isu ini sebenarnya bermula dari lokasi pengisian muatan seperti di kilang, tapak kuari, gudang dan sebagainya yang menggunakan perkhidmatan syarikat logistik untuk menghantar muatan mereka ke sesuatu destinasi.

Berdasarkan pendedahan dan penyiasatan, akhbar ini mendapati pemilik muatan bertanggungjawab menentukan jumlah muatan perlu dibawa sesebuah kenderaan namun sebahagian besarnya melebihi had ditetapkan.

Tindakan itu dilakukan bagi mengurangkan kos logistik dihadapi pemilik muatan namun ia mendedahkan pemandu dan pengguna jalan raya kepada risiko kemalangan sehingga mengorbankan nyawa.

Tetapi, malangnya, hanya pemandu dan pemilik lori dikenakan tindakan undang-undang sedangkan pemilik muatan lepas tangan walaupun merekalah yang bertanggungjawab menentukan jumlah pengisian muatan.

Dalam masa sama, Hairi berkata, abatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) wajar diberi ‘taring’ supaya dapat memantau dan mengambil tindakan kepada pemilik muatan yang sengaja mengeluarkan arahan (collection order) melebihi had ditetapkan.

Beliau berkata, ketiadaan pemantauan bermula dari lokasi pengisian muatan seperti di kilang, tapak kuari, gudang dan sebagainya ia disalahgunakan oleh pemilik muatan.

Katanya, ia juga antara punca menyebabkan pemilik muatan sewenang-wenangnya menentukan jumlah muatan yang perlu dibawa oleh lori daripada syarikat logistik walaupun ia melebihi had ditetapkan.

“Apabila bercakap soal keselamatan sudah pasti JKKP adalah pihak yang bertanggungjawab memantau dan mengambil tindakan terhadap pemilik muatan jika tiada pemantauan sudah pasti mereka akan terus bermaharajalela.

“Tetapi, apa kuasa yang ada pada JKKP? Isu kemalangan membabitkan kenderaan berat akibat lebih muatan sudah menjadi semakin serius, namun jika tindakan hanya diambil terhadap pemilik kenderaan dan pemandu sampai bila isu ini tak akan selesai.

“Sebaliknya, JKKP perlu lebih proaktif tanpa perlu menunggu aduan untuk membuat pemantauan terhadap lokasi pengisian muatan seperti kilang, tapak kuari, gudang dan sebagainya untuk memastikan kenderaan berat yang keluar dari situ mematuhi segala peraturan ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×