Kumpulan kedua global flotilla masuki perairan antarabangsa, soladiriti Malaysia untuk Gaza

Kumpulan kedua global flotilla masuki perairan antarabangsa, soladiriti Malaysia untuk Gaza

Kumpulan kedua sukarelawan misi GSF yang berlepas dari Catania, ItalI telah mula berlayar memasuki perairan antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kumpulan kedua sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang berlepas dari Catania, ItalI telah mula berlayar memasuki perairan antarabangsa.

Kumpulan kedua itu disertai 11 delegasi rakyat Malaysia dan seorang dari Brunei daripada keseluruhan 16 kapal misi bertujuan memecahkan sekatan Israel terhadap Gaza dan membuka koridor bantuan kemanusiaan.

Malaysia menyertai dalam lapan kapal misi kemanusiaan itu dalam usaha menyampaikan bantuan asas seperti makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk Gaza.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, penyertaan beberapa pertubuhan Islam di Malaysia dalam misi GSF ini adalah satu manifestasi kukuh terhadap firman Allah SWT dan hadis Nabi Muhammad SAW bahawa umat Islam itu bersaudara antara satu sama lain dan tidak menzalimi serta membiarkan dalam kesusahan.

Katanya, penyertaan ini pasti akan memberi satu sokongan moral yang tinggi kepada seluruh rakyat Gaza, khususnya mereka yang kini sedang berdepan ujian yang amat berat.

“Misi GSF adalah suatu komitmen masyarakat Madani di peringkat antarabangsa yang diyakini akan menzahirkan solidariti global terhadap tuntutan kemanusiaan rakyat Palestin serta perjuangan kemerdekaannya sejak sekian lama.

“Misi ini juga selari dengan pendirian negara kita yang sentiasa konsisten mengangkat isu Palestin di pelbagai peringkat, sama ada di pentas diplomasi antarabangsa mahupun menerusi usaha kemanusiaan,” katanya hari ini.

Mohd. Na’im pada masa sama amat menghargai semangat dan keberanian para aktivis, sukarelawan, serta wakil pertubuhan masyarakat sivil yang menyertai misi ini.

Katanya, ia demi memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang sangat memerlukan di Gaza.

“Usaha ini mencerminkan keprihatinan rakyat Malaysia dan solidariti bersama dalam mengurangkan kesengsaraan rakyat Palestin.

“Harapan saya agar semua sukarelawan misi ini diberikan kekuatan, keselamatan, dan perlindungan sepanjang pelayaran, serta berjaya mencapai matlamatnya dan dilindungi daripada sebarang ancaman. Semoga usaha mereka diberkati Allah SWT,” katanya.

Delegasi Malaysia dalam misi itu diketuai oleh beberapa NGO, antaranya Cinta Gaza Malaysia (CGM), MAPIM Malaysia (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia), dan Cinta Salam Malaysia (CSM).

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Sani Araby, dilantik sebagai Chef de Mission untuk Malaysia dalam misi ini.  

Sebanyak 15 wakil Malaysia menyertai GSF dalam pelayaran pertama yang berlepas dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol, pada 31 Ogos 2025, manakala kumpulan kedua (15 orang) berlepas dari salah sebuah pelabuhan di Itali pada 4 September lalu, kumpulan ketiga Malaysia pula berada di Tunisia.

Penyertaan delegasi Malaysia bukan sekadar retorik, tetapi manifestasi komitmen nyata Malaysia dalam menyokong isu Palestin. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN