GUA MUSANG: Sebuah kubur yang terletak di tengah ruang solat utama Masjid Razaleigh, Bandar Lama Gua Musang di sini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi menjadi saksi kekejaman komunis yang pernah meragut nyawa tidak berdosa lebih 80 tahun lalu.
Di masjid itu tersimpan sejarah hitam yang dilupakan generasi hari ini iaitu kisah seorang wanita sarat mengandung, Allahyarham Nik Mah Nik Soh yang dibunuh kejam oleh komunis dalam serangan berdarah pada 1 Januari 1943.
Kisah penuh tragik itu kekal segar dalam ingatan Nik Hassan Nik Jaafar, 65, anak kepada Allahyarham Nik Jaafar Nik Soh, Penggawa Hulu Kelantan ketika itu yang turut menjadi saksi sejarah menerusi catatan diari milik ayahnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nik Hassan berkata, diari yang menggunakan mesin taip itu menceritakan tentang kewujudan kubur ibu saudaranya yang mati dibunuh komunis dengan kejam.
“Nik Mah merupakan adik kepada ayah (Nik Jaafar) gagal melarikan diri semasa serangan itu berlaku kerana sarat mengandung dan terpaksa berselindung dalam longkang dekat masjid itu.
“Nik Mah diserang hendap pasukan komunis yang menyerbu kawasan terbabit. Dalam keadaan ketakutan ketika itu, penduduk yang selamat telah mengusung jenazah Nik Mah dalam keadaan berlumuran darah ke dalam masjid dan dikebumikan berhampiran kolah tempat mengambil wuduk di belakang masjid.
“Pada waktu itu masjid berkenaan dibina dengan kayu dan mampu menampung hanya kurang 100 jemaah sahaja sebelum dinaik taraf 50 tahun kemudian untuk menampung bilangan jemaah sehingga menyebabkan kubur terbabit berada di bahagian tengah,” katanya.
Nik Hassan berkata, serangan komunis ketika itu juga menyebabkan kebanyakan penduduk tidak boleh tinggal secara berkelompok dan kerap berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari perlindungan termasuk berjalan kaki dalam hutan.
Katanya, mengikut catatan diari itu lagi, bapanya telah melarikan diri secara berseorangan ke Balai Polis Bertam untuk mendapatkan perlindungan. – UTUSAN










