Kuasa PM lantik Peguam Negara perlu dikaji semula

Kuasa PM lantik Peguam Negara perlu dikaji semula

MUHAMMAD FATHI YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kuasa Perdana Menteri dalam melantik Peguam Negara perlu dikaji semula bagi memastikan kebebasan institusi perunda­ngan negara tidak terjejas oleh campur tangan politik.

Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, berdasarkan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri dalam urusan pelantikan Peguam Negara, menjadikan Perdana Menteri mempunyai kuasa besar menentukan siapa yang mengisi jawatan tersebut.

Katanya, sejarah negara me­nunjukkan beberapa Peguam Negara yang tidak sehaluan dengan Perdana Menteri telah ditukar, manakala ada juga yang dilantik mungkin mempunyai penglibatan dalam parti politik tertentu.

“Keadaan itu wajar dita­ngani segera bagi memastikan kedudukan Peguam Negara le­bih bebas daripada campur tangan politik.

“Ini tentunya menimbulkan persoalan berkaitan tahap kebebasan institusi peguam negara daripada campur tangan politik khususnya parti yang memerintah. Oleh demikian, wu­jud keperluan untuk melihat semula proses pelantikan ini kerana ia boleh dilakukan dengan cara yang lebih baik bagi mengelak campur tangan politik,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan bekas Hakim Mah­kamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam, Suruhanjaya Perkhid­matan Pegawai Pendakwaan bebas perlu ditubuhkan dan diasingkan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan bagi memastikan Pendakwa Raya menjadi entiti khusus tanpa terikat dengan Jabatan Peguam Negara atau badan kehakiman.

Langkah itu katanya, pen­ting bagi memastikan struktur pentadbiran keadilan benar-be­nar bebas daripada sebarang pe­ngaruh eksekutif, politik atau cam­pur tangan luar selaras de­ngan prinsip kedaulatan undang-undang dan pengasingan kuasa.

Muhammad Fathi berkata, kuasa Peguam Negara yang juga berperanan sebagai Pendakwa Raya adalah terlalu besar kerana bukan sahaja berkuasa menentukan sama ada sesuatu pendakwaan, malah turut mewakili kerajaan dalam tindakan undang-undang, menasihati kerajaan dalam urusan pentadbiran dan memberi pandangan dalam isu perundangan antarabangsa.

“Perlembagaan memperuntukkan bahawa keputusan Peguam Negara dalam soal pendakwaan tidak boleh dicabar di mahkamah. Ini menjadikan kuasa Peguam Negara sangat besar sehingga wujud cada­ngan agar fungsi pendakwaan dipisahkan daripada jawatan Peguam Negara.

“Cadangan ini penting untuk memastikan tidak berlaku pemusatan kuasa kepada seorang individu dalam hal pe­run­dangan kerajaan, malah kaedah ini telah dilaksanakan di beberapa negara lain tanpa sebarang masalah,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya mekanisme baharu diwujudkan di mana Peguam Negara bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen.

“Peguam Negara boleh diwajibkan membentangkan laporan secara berkala, bersedia menjawab soalan ahli Parlimen dan dipanggil memberikan penjelasan terhadap isu-isu tertentu. Kaedah ini lebih telus kerana tertakluk kepada semakan institusi yang dipilih rakyat secara demokratik, selain turut diamalkan di beberapa negara lain,” katanya.

Cadangan pemisahan fungsi pendakwaan daripada Peguam Negara dan pelaksanaan mekanisme semak dan imbang melalui Parlimen dilihat langkah penting ke arah memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan kebebasan institusi undang-undang negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN