KPKT alu-alukan penubuhan Pasukan Khas UMNO teliti RUU PSB - Utusan Malaysia

KPKT alu-alukan penubuhan Pasukan Khas UMNO teliti RUU PSB

NGA Kor Ming (tengah) pada perasmian Taman Rekreasi Madani Taman Westpool pada lawatan kerja ke Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengalu-alukan penubuhan Pasukan Khas UMNO bagi meneliti dan memberi pandangan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya terbuka menerima cadangan mana-mana pihak termasuk UMNO dan juga rakan dalam Pakatan Harapan (PH) asalkan ia bersifat ikhlas dan jujur demi kepentingan rakyat.

“Apa sahaja idea yang bernas, kementerian akan menerima pakai kerana niat utama kita dalam menggubal akta ini adalah untuk membantu rakyat.

“Sebab itu, semua pihak harus datang bersama untuk bincang dan setakat hari ini kita sudah menjalankan sebanyak 108 sesi libat urus dengan pelbagai pihak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan empat Taman Rekreasi Madani, di sini hari ini.

Menerusi laporan media Rabu lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU PSB.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukan khas itu bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB secara terperinci sebelum dibentang dalam Konvensyen Melayu Bandar pada hujung September ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, RUU tersebut sudah tiga kali mendapat kelulusan Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) yang turut disertai wakil kerajaan negeri termasuk Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

“Saya mahu maklumkan, 534 kawasan sudah dikenal pasti dan diwartakan oleh kerajaan negeri termasuk 55 kawasan di Kedah, 22 di Terengganu dan empat di Kelantan. Semua ini dicadangkan, dipersetujui dan diwartakan oleh kerajaan negeri sendiri.

“Jadi tak logik kalau ada pihak membantah. Kamu yang cadang, kamu yang warta tapi kemudian kamu yang bantah. Itu tak masuk akal,” tegasnya.

Timbalan Pengerusi DAP itu menambah, di bawah Akta PSB setiap negeri mempunyai Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan Menteri Besar atau Ketua Menteri masing-masing.

“Mereka yang cadang dan minta kementerian bantu. Bila kementerian bantu, ada pula yang bantah.

“Sebab itu, saya selalu tegaskan, perkara-perkara yang baik, wajib kita sokong dan tolong. Janganlah semua perkara baik kita politikkan kerana akhirnya ia merugikan semua pihak khususnya rakyat yang hidup dalam rumah yang daif dan usang di kawasan berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN