BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan dua aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan berasingan di Bukit Minyak dan Juru di sini, hari ini.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan menerusi Ops Gasak yang bermula kira-kira pukul 11.30 pagi itu dilakukan oleh dua pasukan penguatkuasa selepas risikan dibuat selama dua minggu.
Beliau berkata, serbuan pertama yang dijalankan di sebuah kilang mendapati, premis tersebut menggunakan LPG tanpa memiliki permit sah yang dikeluarkan oleh pengawal bekalan.
Katanya, dalam serbuan yang sama, pihaknya turut menemukan menemui lapan LPG ‘baby tank’ yang sebahagian daripada tong berkenaan masih berisi dan sedang digunakan.
“Sementara itu, pemeriksaan di lokasi kedua pula mendapati, premis terbabit menjalankan aktiviti penjualan barang kawalan kepada individu atau pihak yang tidak mempunyai lesen yang sah, sekali gus melanggar peraturan sedia ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan.
Jelas Jegan, hasil serbuan di kedua-dua lokasi berkenaan, pihaknya berjaya menyita sebanyak lapan silinder LPG ‘baby tank’ yang berkapasiti 200 kilogram (kg) setiap satu dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM58,000.
“Selain itu, tiga individu warga tempatan yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 25 hingga 50 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya yang memberitahu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
Tambah beliau, di bawah akta tersebut, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan berulang pula, jumlah denda yang dikenakan boleh mencecah antara RM3 juta hingga RM5 juta.
“Dalam hal ini, KPDN akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk menyeleweng barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat,” katanya.-UTUSAN