Konsert 4U2C di Singapura belum diputuskan - AC Mizal - Utusan Malaysia

Konsert 4U2C di Singapura belum diputuskan – AC Mizal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk AC Mizal memaklumkan kumpulan 4U2C belum memutuskan untuk mengadakan konsert di Singapura selepas kejayaan konsert mereka di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut AC, perkara itu masih dibincangkan dan tertakluk kepada persetujuan kesemua ahli kumpulan tersebut.

“Memang ada pihak yang berminat untuk menganjurkan konsert 4U2C di Singapura. Namun perkara ini belum diputuskan lagi.

“Kami perlu berbincang. Tak tahulah boleh atau tidak. Bergantung pada perbincangan dengan penganjur,” katanya.

AC berkata demikian dalam sidang media selepas konsert We 4U2C Live in Concert, semalam.

Dewan Idea Live Arena, Petaling Jaya malam semalam digegarkan dengan persembahan bertenaga kumpulan bertaraf legenda itu yang kembali sepentas selepas tiga dekad.

4U2C melunaskan hasrat peminat menerusi persembahan lagu-lagu yang pernah dipopularkan mereka seperti Fiona, Kembalilah Fiona, I Miss You, Persahabatan dan banyak lagi.

Konsert yang bertemakan Bringing Back 90’s Flava turut dihidupkan dengan kemunculan istimewa kumpulan A To Z, M’ Steen dan Res2.

Turut membuat persembahan adalah anak kepada AC Mizal dan Emylia Rosnaida, Muhammad Reeve Damien yang menyampaikan tiga lagu sebagai pembuka tirai.

Kata AC, konsert tersebut meninggalkan banyak kenangan manis untuk ahli 4U2C yang sudah bersahabat lebih tiga dekad.

“Kami terharu. Pada masa sama, sedih dan gembira. Konsert ini mendatangkan pelbagai perasaan.

“Selepas ini tidak akan ada lagi peluang untuk kami berkumpul dan berlatih bersama-sama. Itu bahagian yang menyedihkan kami.

“Malam ini (semalam) kami buktikan yang kami ini masih berkemampuan untuk membuat persembahan,” kongsinya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN