IPOH: Bagi memastikan ciri warisan Melayu tidak terpadam dalam arus pemodenan bandaraya Ipoh, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) mahu bangunan baharunya menampilkan reka bentuk seni bina Nusantara Melayu.
Bangunan tersebut yang dinamakan Kompleks Pentadbiran dan Pusat Komersial (KPPK) MAIPk, kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada April 2028.
Bangunan itu terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab bersebelahan bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, kos pembinaan bangunan itu ialah sebanyak RM74.6 juta
Katanya, konsep yang mahu diterapkan terhadap bangunan itu penting supaya nilai warisan Melayu boleh dipamerkan kepada masyarakat.
“Saya berterima kasih kepada jurubina yang apabila saya lontarkan hasrat untuk membuat bangunan yang mengembalikan seni bina rumah Melayu, mereka membuat bukan sekadar hendak berniga.
“Mereka membuat penyelidikan sehingga pergi melihat semua rumah-rumah Melayu yang usang untuk melihat bentuk jendela, tingkap dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis doa selamat mula kerja pembinaan bangunan tersebut di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.
Mohd. Annuar berkata, landskap bangunan itu juga mahu diterapkan dengan ciri-ciri tempatan yang bersesuaian dengan keadaan di kampung-kampung Melayu.
KPPK merangkumi pembinaan bangunan setinggi enam tingkat, serta dua tingkat bawah tanah (basement) untuk 314 lot tempat letak kereta dan 70 lot tempat letak motosikal.
Kompleks itu juga akan dilengkapi pelbagai kemudahan moden di samping ruang pejabat, lantai komersial dan ruang niaga serta satu lantai dikhususkan untuk Galeri Warisan.
Projek pembangunan KPPK itu menampilkan reka bentuk seni bina Nusantara Melayu berinspirasikan elemen dan motif rumah tradisional Melayu Perak, khususnya Rumah Kutai. – UTUSAN