KUALA LUMPUR: Hasrat peminat tempatan melihat novel dari negara seberang iaitu Lyora: Keajaiban Yang Dinanti difilemkan, tercapai dengan penghasilan filem Lyora: Penantian Buah Hati.
Malah, lebih membuatkan peminat teruja adalah apabila jalan cerita filem itu diinspirasikan daripada kisah benar.
Pengarah, Pritagita Arianegara berharap kisah kesulitan watak pasangan suami isteri, Meutya dan Fajrie untuk mendapatkan zuriat menjadi inspirasi kepada pasangan lain yang berdepan ujian yang sama.
“Karya ini sangat personal buat saya. Saya tahu rasanya menunggu, mencuba dan gagal. Menerusi Lyora, saya ingin memeluk mereka yang masih berjuang dan mengingatkan bahawa ini bukan perjuangan satu orang saja.
“Bagi ramai wanita, anak bukan sahaja untuk penyambung keturunan, tetapi refleksi kepada harapan, keberanian, pejuangan dan kadang-kala kehilangan. Filem ini tentang seorang bakal ibu yang tidak berputus asa dan bagaimana orang sekeliling menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang.
“Membikin filem ini adalah cara saya menghormati mereka yang berjuang dalam diam dan untuk mereka yang belum berani bersuara tentang kesulitan yang dialami untuk memiliki anak,” katanya.
Pelakon, Marsha Timothy berkata karakter Meutya yang dilakonkannya memberi pengalaman berbeza. Katanya, dia harus menyelami perasaan wanita yang berjuang untuk memiliki cahaya mata selepas berulang kali mengalami keguguran.
“Melakonkan watak Meutya dalam filem ini bagi saya seperti mewakili semangat juang para isteri yang sedang menanti buah hati. Karya ini seperti surat cinta dan pembakar semangat untuk mereka dan diharap boleh memberi motivasi tanpa harus menghakimi dan tetap percaya dengan segala usaha yang dilakukan.
“Meutya adalah wakil suara wanita-wanita yang jarang dibicarakan. Bagaimana perjuangan dan kesulitan wanita serta pasangannya yang ingin memiliki anak.
“Menerusi watak Muetya ditunjukkan, sehebat mana wanita itu mereka juga manusia biasa yang adakalanya berasa lelah dan memerlukan sokongan. Watak ini cerminan wanita moden yang kuat, bekerjaya tetapi tetaplah manusia biasa yang membawa kegelisahan yang sangat universal iaitu keinginan untuk membentuk keluarga, menjadi ibu dan berasa lengkap,” ujarnya.
Dalam pada itu, Darius Sinathrya berharap filem ini akan membuka mata banyak pihak bahawa pejuangan memiliki anak bukan terletak di bahu isteri sahaja, tetapi juga suami.
“Perjuangan menantikan buah hati bukan beban satu orang. Filem ini membuka ruang diskusi tentang pentingnya peran suami dalam perjuangan memiliki anak, bukan hanya tanggungjawab istri,” tambah Darius Sinathrya tentang filem yang telah ditayangkan di Indonesia pada 7 Ogos lalu.
Selain Marsha dan Darius, filem Lyora: Penantian Buah Hati juga dibintangi oleh Widyawati, Aimee Saras, Olga Lydia, Hannah Al Rashid, Ariyo Wahab dan Ivanka Suwandi.
Filem Lyora: Penantian Buah Hati yang diedarkan oleh Horizon Film Entertainment Sdn Bhd ditayangkan di pawagam bermula 18 September lepas. – UTUSAN