PETALING JAYA: Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat perlu menarik balik cadangan supaya wanita yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, Mohd. Yusoff juga wajar memohon maaf kerana cadangan itu disifatkan tidak sensitif terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
Menurut beliau, adalah lebih baik Ketua Polis Kelantan itu menumpukan usaha membendung peningkatan kes rogol dan rogol statutori di negeri berkenaan berbanding mengeluarkan cadangan yang bercanggah dengan tanggungjawab asas sebagai pegawai awam.
“Cadangan tersebut salah dari segi etika dan jelas mengabaikan tanggungjawab untuk melindungi wanita dan kanak-kanak perempuan yang sering menjadi sasaran pemangsa seksual.
“Bagaimana perkara ini boleh dicapai sekiranya mangsa rogol turut dihukum bersama dengan pelaku jenayah? Cadangan sebegini bukan sahaja tersasar, malah menunjukkan tiadanya simpati, empati serta belas kasihan terhadap kanak-kanak perempuan bawah umur yang menjadi mangsa rogol statutori,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Mohd. Yusoff dilaporkan berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di Kelantan berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, terdapat sebab undang-undang menetapkan umur sah untuk memberi persetujuan adalah 16 tahun, selain mengklasifikasikan hubungan seks secara sukarela dengan individu bawah umur sebagai jenayah rogol statutori.
“Tujuan undang-undang ini adalah untuk melindungi kanak-kanak perempuan daripada eksploitasi seksual kerana usia mereka masih muda serta tidak cukup matang untuk membuat keputusan sendiri.
“Peruntukan liabiliti ketat ini bukan sahaja wujud di Malaysia, malah di hampir semua negara lain dengan perbezaan hanya pada umur sah untuk memberi persetujuan.
“Apa yang membuatkan Malaysia berbeza sehingga mangsa pula perlu dihukum hanya kerana memberi persetujuan, sedangkan dari sudut undang-undang, mereka tidak berkeupayaan untuk berbuat demikian?” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Mohd. Yusoff perlu menarik balik cadangan itu serta memohon maaf atas kenyataan yang disifatkan menyinggung sensitiviti masyarakat khususnya wanita dan kanak-kanak perempuan.-UTUSAN










