Kesuma rancang anjur kursus urus kewangan untuk pekerja gig

Kesuma rancang anjur kursus urus kewangan untuk pekerja gig

STEVEN Sim Chee Keong (tengah) ketika menghadiri program Penang Rider Jalan Teruih di Permatang Pauh, Pulau Pinang malam tadi.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH : Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) merancang untuk bekerjasama dengan persatuan-persatuan pekerja gig bagi menganjurkan satu kursus pengurusan kewangan khusus untuk komuniti pekerja terbabit.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka mempelajari selok-belok pengurusan kewangan yang betul ketika ini.

“Kita dah mula ‘roadshow’ (siri jelajah) seperti ini di Kuala Lumpur dengan pekerja-pekerja gig dari sektor perfileman dan hari ini (malam tadi) kita berada di sini dengan kebanyakan pekerja adalah dari sektor p-hailing.

“Jadi, berdasarkan maklum balas yang kita dapat setakat ini, mungkin ada satu keperluan untuk memberikan kursus pengurusan kewangan kepada mereka.

“Justeru, kita di Kesuma akan membuat perancangan seperti mungkin bekerjasama dengan persatuan-persatuan pekerja gig (untuk menganjurkan kursus berkenaan) bagi membolehkan mereka (pekerja gig) tahu bagaimana hendak menguruskan kewangan, menabung, melabur dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Penang Rider Jalan Teruih di sini malam tadi bersama lebih 1,500 penunggang motosikal yang majoritinya terdiri daripada pekerja gig khususnya p-hailing.

Program anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang (JBSNPP) serta Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah penerangan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang telah diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

Antara kelab motosikal yang turut-serta dalam program itu ialah Xtreme Bikers Club, MSBKC, Northern Versy Owner Group, Zontes 368G Northern Rider Club, PMTC, Sahabat Honda Penaga, ATMS dan RRC Grab 2W Penang.

Pada sesi dialog yang diadakan secara santai dengan menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik untuk peserta itu juga, Steven turut menjawab semua soalan yang dikemukakan oleh komuniti pekerja gig terbabit.

Beliau turut menerangkan perihal perundangan baharu itu yang akan memberi perlindungan kepada pekerja gig sama ada daripada aspek undang-undang perburuhan, keselamatan sosial dan hak pekerja tersebut.

Jelas Steven, RUU Pekerja Gig bukan sekadar undang-undang, tetapi merupakan pengiktirafan kepada pekerja gig yang dianggap seperti wira moden yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Tambah beliau, disebabkan program tersebut mampu menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan kerajaan dengan komuniti pekerja gig, maka, ia akan diteruskan ke negeri-negeri lain bagi memastikan setiap pekerja gig mendapat maklumat, perlindungan dan manfaat sepenuhnya di bawah RUU berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN