Kes Zara Qairina: Intimidasi terhadap doktor tidak boleh dibiarkan - MMA

Kes Zara Qairina: Intimidasi terhadap doktor tidak boleh dibiarkan – MMA

DR. KALWINDER SINGH KHAIRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua doktor perlu dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dalam persekitaran yang selamat serta penuh rasa hormat tanpa berdepan ancaman, penghinaan atau intimidasi.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh berkata, MMA memandang serius insiden ugutan dan penghinaan dalam talian yang dilemparkan terhadap pakar patologi, Dr. Jessie Hiu susulan keterangannya sebagai saksi profesional dalam inkues Zara Qairina Mahathir.

“Adalah penting untuk memastikan semua doktor dapat menjalankan tugas mereka dengan aman, tanpa rasa takut, ancaman atau serangan peribadi. 

“Keselamatan doktor dan petugas kesihatan mesti dijamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Kalwinder turut menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan langkah berkesan bagi melindungi Dr. Hiu serta mana-mana petugas kesihatan lain yang mungkin berdepan situasi sama.

Katanya, pihak berkuasa juga perlu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu yang membuat ugutan atau menjejaskan secara peribadi tugas profesional Dr. Jessie Hiu.

“Perbincangan awam perlu kekal berlandaskan rasa hormat. Walaupun pandangan mungkin berbeza, ugutan dan serangan terhadap pakar perubatan yang hanya menjalankan tugas tidak boleh diterima. Ia bukan budaya kita dan mesti dihentikan segera,” katanya.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun kerana disyaki mengugut Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu yang terbabit dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Suspek ditahan kira-kira pukul 7 pagi tadi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna selepas polis menerima laporan mengenai satu kenyataan di Facebook yang berunsur ugutan jenayah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dilaporkan berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 5 September lalu daripada pakar patologi HQE. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN