IPOH: Akibat sering dimarahi, seorang lelaki dipercayai bertindak kejam apabila mencekik isterinya hingga mati dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kuang, Chemor di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kejadian pada pukul 12.40 tengah hari itu bermula daripada perselisihan faham membabitkan pasangan suami isteri warga Myanmar.
Katanya, kejadian menimpa wanita itu disedari rakannya selepas menjumpai wanita itu dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menghubungi polis untuk bantuan.
“Kejadian berlaku di rumah sewa mangsa dan suspek. Berdasarkan siasatan, motif kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati suspek kerana kerap dimarahi isterinya.
“Pemeriksaan pada mayat wanita berusia 28 tahun itu menemui kesan cekik di leher namun tiada kecederaan lain dikesan pada tubuh mangsa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 3.40 petang di lokasi kejadian dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Bedah siasat akan dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB) esok, manakala permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN