PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini bersetuju secara dasar untuk mengasingkan sepenuhnya peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan bersejarah itu dibuat selepas pembentangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Katanya, keputusan itu juga dibuat selepas pertimbangan menyeluruh terhadap laporan akhir dan hala tuju yang dikemukakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan oleh Azalina.
“Setelah memberi pertimbangan yang menyeluruh, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan ini diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, bagi tujuan ini, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.
Di samping itu, satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan. – UTUSAN