Kerajaan pisah kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya

Kerajaan pisah kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksa­nakan cadangan pengasingan kuasa penuh membabitkan Pe­guam Negara dan Pendakwa Raya setara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu dibuat sele­pas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Sri Azalina Othman Said membentangkan model-model peng­a­singan kuasa kedua-dua jawatan tersebut kepada Jemaah Menteri.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, setelah pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh di mana kedua-dua jawatan itu diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan ini diambil selepas meneliti laporan akhir dan hala tuju yang disediakan oleh pasukan petugas khas kajian komparatif yang dipengerusikan oleh menteri.

“Bagi tujuan ini, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri,” katanya semalam.

Menurut kenyataan itu, satu Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan.

Pada masa sama, katanya, satu akta baharu khusus me­ngenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45].

“Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa pelaksanaan ini dibuat secara berfasa, dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada.

“Justeru, Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diterajui oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) bersama Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Ke­hakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan meneruskan peranan selanjutnya untuk memperincikan semua aspek pelaksanaan termasuk struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan,” katanya.

Menurutnya, syor lengkap hasil perincian itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan, supaya pindaan diperlukan dapat dilaksanakan dan pelaksanaan pengasingan dijalankan dengan sewajarnya, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada.

“Langkah ini merupakan re­formasi institusi perundangan yang holistik dan signifikan di bawah kerangka Kerajaan Madani, bagi mengukuhkan tad­bir urus, memperkasakan ke­daulatan undang-undang dan meningkatkan keyakinan rak­yat terhadap sistem keadilan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN