‘Kejar’ panas sebelum tengkujuh

‘Kejar’ panas matahari sebelum tengkujuh

SITI Khadijah Bakar menjemur ikan di Kampung Pachakan, Kuala Besut, Terengganu. – MINGGUAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Pengusaha ikan kering di negeri ini kini ‘mengejar’ cahaya matahari untuk menjemur produk mereka sebagai bekalan musim banjir yang dijangka berlaku akhir tahun ini.

Seorang pengusaha, Siti Khadijah Bakar, 40, berkata, ikan kering dihasilkan menggunakan 100 peratus cahaya matahari sebagai ‘mesin pengering’ semulajadi dan cuaca hujan boleh menjejaskan proses pembuatan makanan laut itu.

“Permintaan terhadap ikan kering sangat tinggi di pasaran Pantai Timur kerana ia dijadikan sebagai lauk tambahan atau penambah selera untuk dimakan bersama nasi atau pulut bagi masyarakat di sini.

“Justeru, sebelum masuk musim Monsun Timur Laut (MTL), saya tambah bekalan yang ada bagi menampung jumlah permintaan yang semakin meningkat setiap hari,” kata­nya ketika ditemui di Kampung Pachakan, Kuala Besut di sini.

Katanya, pada musim hujan dia terpaksa membuat ‘peneduh’ untuk melindungi produknya daripada ditimpa air hujan dan proses pengeringan mengambil masa yang lama sehingga berhari-hari.

Setiap hari kira-kira 1,500 kilogram pelbagai jenis ikan digunakan untuk dijadikan ikan kering dengan disiang dan direndam air garam semalaman sebelum dijemur dalam tempoh enam hingga 10 jam mengikut keadaan cuaca.

Menurut Siti Khadijah, ketika MTL dia bukan hanya berdepan cabaran mengeringkan ikan malah berdepan masalah kekurangan bekalan ikan segar yang mana kebanyakan nelayan tidak lagi turun ke laut ketika tempoh tersebut.

Dia terpaksa mendapatkan bekalan ikan dari luar termasuk Kedah dan Perlis bagi memastikan perniagaannya dapat terus dijalankan sepanjang tahun.

“Saya lebih gemar membuat proses pengeringan atau jemur ikan ini ketika musim panas kerana kualitinya lebih terjamin berbanding ikan kering yang terdedah dengan cuaca lembab yang boleh membuatkan ikan berbau hapak.

“Selepas proses pengeringan dilakukan ikan tersebut dibungkuskan dengan menggunakan teknologi kedap udara sebelum disimpan dalam peti sejuk beku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×