KOTA KINABALU: Doktor yang pertama menerima dan menerima pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir tidak menolak kemungkinan bahawa kecederaan yang ada di kepala remaja terbabit disebabkan oleh trauma akibat objek tumpul (blunt force trauma).
Perkara itu dimaklumkan Dr. Janefer Voo yang merupakan saksi keempat inkues di Mahkamah Koroner di sini hari ini ketika ditanya oleh peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina.
Peguam Rizwandean M. Borhan: Berdasarkan kecederaan `scalp vertex hematoma’ (pengumpulan darah) bolehkah kecederaan ni disebabkan oleh `blunt force trauma’ (kecederaan akibat hentakan objek tumpul)?
Dr. Voo: Kemungkinan ya.
Terdahulu, Dr. Voo selaku doktor yang pertama menerima dan menerima Zara Qairina memaklumkan remaja terbabit tiba di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dalam keadaan sangat kritikal dan tidak stabil.
Katanya, pemeriksaan awal terhadap remaja terbabit ketika itu mendapati tiada kesan lebam atau penderaan pada tubuh remaja terbabit ketika ditanya oleh Pegawai Pengendali Inkues, Datuk Badius Zaman Ahmad.
Ketika ditanya mengenai kadar kelangsungan hidup (rate of survival) Zara Qairina berdasarkan pemeriksaan awal, doktor terbabit menyatakan: “Rate of survival tidak pasti tetapi daripada pemeriksaan awal saya, pesakit dalam keadaan sangat kritikal dan tidak stabil.”
Dr Voo turut menyenaraikan beberapa kecederaan yang dialami remaja terbabit yang kebanyakan adalah jenis `close fracture’ (patah dalaman tanpa sebarang luka pada kulit) dan juga turut ditemukan internal bleeding due to trauma (pendarahan dalaman).-UTUSAN