PETALING JAYA: Tawaran sindiket counter setting yang secara puratanya mampu mencecah RM50,000 sebulan menyebabkan pegawai penguat kuasa sanggup menggadaikan keselamatan negara dengan melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur sah.
Malah wang rasuah yang diterima daripada sindiket itu bergantung kepada kepada negara asal warga asing yang dilepaskan melalui pintu masuk negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Imigresen itu menerima bayaran wang rasuah berjumlah RM1,800 hingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang berjaya masuk ke Malaysia.
Menurutnya, bayaran wang rasuah itu dibuat secara tunai dan menggunakan akaun keldai di mana secara purata pegawai yang terbabit menerima wang rasuah antara RM10,000 sehingga RM50,000 sebulan bergantung kepada warga asing yang dilepaskan.
“Modus operandi mereka adalah ejen memaklumkan maklumat warga negara asing seperti maklumat nombor pasport, tiket kapal terbang kepada pegawai terbabit.
“Pegawai itu kemudiannya memaklumkan kepada ejen berkaitan dengan kaunter yang perlu dilalui oleh warga negara asing terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azam berkata, pegawai yang bertugas di kaunter akan memudahkan urusan atau tanpa pemeriksaan terperinci bagi kemasukan warga negara asing yang telah di “setting”.
“Dalam operasi yang dijalankan itu 20 orang pegawai penguat kuasa terdiri pegawai AKPS dan JIM membabitkan Ketua Pasukan, Penyelia dan Penjaga Kaunter Imigresen ditahan.
“Mereka yang ditahan itu bermula dari Gred KP1 hingga KP9 berusia antara 23 hingga 54 tahun,” katanya.
Sebelum ini, seramai 30 individu ditahan dan 27 daripada mereka membabitkan 18 pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat dan tiga orang awam.
Susulan itu SPRM membekukan 57 akaun bank bernilai lebih RM2.7 juta yang disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket counter setting bagi melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur.
Selain pembekuan kesemua akaun terdiri daripada 48 akaun individu dan sembilan akaun syarikat itu, wang tunai berjumlah lebih RM200,000 turut disita susulan Op Rentas berkenaan.










