SUNGAI SIPUT: Pertemuan pucuk pimpinan MIC dengan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 September lalu adalah sebagai menghormati bekas Perdana Menteri itu, bukan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Barisan Nasional (BN).
Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran menepis dakwaan kononnya perjumpaan itu adalah sebagai penghormatan sebelum meninggalkan BN.
“Mengapa perlu cakap kepada Najib. Saya perlu bercakap dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (jika ingin meninggalkan BN),” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan veteran Wanita MIC Perak di sini hari ini.
Pertemuan dengan Najib itu berlaku sewaktu bekas Presiden UMNO itu menghadiri prosiding kes di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Perjumpaan itu mencetuskan dakwaan kononnya bagi menjelaskan kedudukan MIC yang dikatakan kurang senang dengan hala tuju BN sejak beberapa bulan lalu.
Vigneswaran berkata, perjumpaan itu adalah sebagai menghormati Najib yang pernah menerajui kepimpinan negara.
“Datuk Seri Najib adalah seorang pemimpin yang disanjung tinggi oleh kaum keturunan India dan juga MIC di negara ini. Maka perjumpaan ini adalah sebuah perjumpaan demi menghormati kepimpinan beliau semasa beliau menerajui kepimpinan negara.
“Apa yang telah dibincangkan itu adalah sesuatu yang kita ingin simpan dalam hati kita sendiri,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan kerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sesuatu yang janggal buat komponen BN, kerana semua pihak pernah bersama bagi membentuk kerajaan Pusat yang terdahulu.
Menurutnya, disebabkan hubungan terdahulu beliau tidak menganggap Pas dan Bersatu sebagai musuh.
Beliau malah memberi gambaran hubungan dengan dua parti utama PN itu tidak terlalu buruk sepertimana UMNO dan DAP yang sekian lama bermusuhan namun kini sudah boleh bekerjasama.
“Anda semua kena faham, Pas dengan Bersatu ini bukan musuh kita pun. Kita (BN) pernah bekerja dengan kepimpinan Pas dan Bersatu, dan tidak pernah ada masalah,” katanya.
Beliau ditanya tentang jemputan Pas kepada MIC dan MCA untuk bergabung membentuk kerjasama politik kerana melihatkan dua parti itu kurang senang dengan hala tuju BN sejak beberapa bulan lalu.
Ketika ditanya lanjut tentang kesediaan MIC untuk menyertai PN, Vigneswaran hanya menjawab tidak menolak sebarang kemungkinan.
Namun kata beliau, hasrat menyertai PN bukan perkara kecil dan perlu diperhalusi sebaiknya.
“Ini bukan perkara yang kecil. Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ini adalah sesuatu yang harus diperhalusi dan dibuat keputusan. Keputusan akan diambil pada masa yang terdekat,” katanya. – UTUSAN