PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat pemindahan kekal (PPK) di empat negeri terus menunjukkan peningkatan pagi ini.
Di Sabah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, seramai 2,468 mangsa daripada 656 keluarga kini berlindung di 19 PPS dan satu PPK di Beaufort setakat pukul 8 pagi.
JPBN berkata, tiga daripada lima daerah terjejas iaitu Beaufort, Putatan dan Penampang menunjukkan peningkatan jumlah mangsa, manakala Membakut dan Papar kekal seperti semalam.
“Dua PPS di Penampang menempatkan mangsa banjir dan tanah runtuh iaitu di Dewan Inobong serta Kampung Sarapung,” katanya.
Sejak Jumaat lalu, kejadian tanah runtuh di Sabah meragut 12 nyawa termasuk lima kanak-kanak dengan 11 kematian dilaporkan semalam dan seorang pada hari pertama kejadian.
Di Perak, jumlah mangsa turut meningkat kepada 397 orang daripada 91 keluarga berbanding 194 orang daripada 48 keluarga malam tadi di daerah Muallim.
Semua mangsa kini ditempatkan di lima PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah Batu 7, Dewan Orang Ramai Kampung Pasir, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim, Kampung Orang Asli Sungai Lembing Behrang Stesen dan Dewan Serbaguna Kampung Pauh.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak berkata, paras air Sungai Slim di Slim River sudah melepasi tahap bahaya pada ketinggian 26.02 meter (m) berbanding paras normal 23.5m.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) turut meramalkan beberapa daerah di Perak iaitu Larut, Matang dan Selama; Kinta, Hulu Perak, Kuala Kangsar serta Batang Padang akan mengalami hujan dan ribut petir dari pagi hingga malam.
Di Negeri Sembilan, jumlah mangsa meningkat kepada 74 orang daripada 20 keluarga berbanding 50 orang daripada 13 keluarga semalam. Mereka kini ditempatkan di PPS SK Jimah Lama, Port Dickson.
Di Selangor pula, jumlah mangsa banjir turut bertambah kepada 146 orang daripada 44 keluarga pagi ini berbanding hanya 33 orang malam tadi dengan tiga PPS dibuka.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS berkenaan ialah SK Sungai Serai di Hulu Langat serta dua lagi di Hulu Selangor iaitu Dewan Orang Ramai Hulu Bernam dan Dewan Serbaguna Kampung Sekolah Sungai Selisik. – UTUSAN











