PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan diarah untuk menyiasat segera kejadian seorang murid meninggal dunia setelah terjatuh ke dalam lubang pembentungan di sebuah sekolah di Negeri Sembilan hari ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat ketidakpatuhan prosedur operasi standard.
“KPM mengingatkan semua pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri untuk sentiasa memastikan fasiliti sekolah berada dalam keadaan selamat.
“KPM memberi perhatian kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Azam berkata, kejadian ini amat mendukacitakan dan KPM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga murid berkenaan.
Terdahulu, seorang murid lelaki sebuah sekolah rendah di Lenggeng maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter di sekolah berkenaan dalam kejadian menyayat hati pagi tadi.
Difahamkan, mangsa berusia sembilan tahun yang juga anak kepada Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah semasa program kejohanan sukan olahraga di sekolah tersebut sekitar pukul 9 pagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin yang turut berada di lokasi ketika kejadian bagi perasmian majlis berkenaan berkata, turut bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan berhubung kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk mendapatkan rawatan.
Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan. – UTUSAN











