'Jika saya perlu lalui ini sekali lagi, saya sanggup' - Utusan Malaysia

‘Jika saya perlu lalui ini sekali lagi, saya sanggup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peragawati terkenal, Bella Hadid kembali memberi khabar gembira apabila memuat naik gambar dirinya di gim selepas sekian lama bergelut dengan penyakit Lyme neurologi kronik yang dihidapinya sejak 13 tahun lalu.

Menerusi hantaran di Instagram Story pada Rabu, bintang berusia 28 tahun itu berkongsi gambar kakinya di atas treadmill.

“Hari pertama di gim selepas sekian lama! Walaupun cuma berjalan, masih cuba untuk mendapatkan semula stamina,” katanya.

Ibu Bella, Yolanda Hadid, terus menerus memberikan sokongan kepada anaknya, dengan membalas komen di hantaran tersebut.

“Saya sayang awak! Teruskan Bella, satu hari pada satu masa.” ujar Yolanda.

Sebelum ini, Yolanda, 61, yang juga bekas bintang Real Housewives of Beverly Hills sempat berkongsi luahan hati tentang ketabahan anaknya melawan penyakit itu ketika berada hospital dan menyifatkan Bella sebagai seorang pejuang hebat.

“Saya kagum dengan keberanian awak dan kesanggupan awak untuk terus berjuang walaupun berulang kali rawatan ini gagal. Awak tidak dapat merasai kehidupan sebenar, sebaliknya terperangkap dalam keadaan fikiran yang membelenggu. Saya sangat bangga dengan semangat juang awak,” tulis ibunya, Yolanda.

Selain Bella, adiknya Anwar Hadid serta nenek mereka juga pernah dijangkiti penyakit bawaan kutu tersebut. Yolanda sendiri sudah lama berusaha mencari penawar mampu milik, malah pernah menjalani lebih 100 jenis rawatan alternatif seperti terapi oksigen hiperbarik dan pemindahan sel stem.

Pada September lalu, Bella berkongsi gambar dirinya disambungkan kepada tangki oksigen dan drip IV ketika menjalani rawatan. Namun, pada 2023, model kelahiran Washington DC itu sempat mengejutkan peminat apabila mengumumkan dirinya akhirnya kembali sihat selepas bertahun-tahun bertarung.

“Satu perkara yang saya ingin sampaikan ialah, saya okay dan kamu tidak perlu risau. Jika saya perlu lalui semua ini sekali lagi untuk sampai ke saat ini, saya sanggup,” ujar Bella.

Selain aktif dalam dunia peragaan, Bella kini sibuk menguruskan perniagaan wangian bebas alkohol miliknya, Ôrəbella, yang dilancarkan tahun lalu.

Antara selebriti lain yang turut didiagnosis dengan penyakit Lyme termasuk Justin Bieber, Avril Lavigne, Shania Twain dan Alec Baldwin.

Sekadar info, penyakit Lyme adalah jangkitan yang berpunca daripada bakteria Borrelia burgdorferi yang disebarkan melalui gigitan kutu (tick).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN