KUALA TERENGGANU: Kehadiran sebuah kenderaan air unik menyerupai kereta dikenali sebagai Jetcar mencuri tumpuan orang ramai semasa Perarakan Bot Merdeka yang berlangsung di Sungai Terengganu, di sini, kelmarin.
Ia dimiliki pasangan suami isteri, Nazri Mamat, 49, dan Alymatul Hartini A. Rahaman, 49, dari Chendering, di sini yang hadir bersama kenderaan berkenaan yang kelihatan seolah-olah gabungan antara bot dan kereta mewah.
Nazri berkata, kenderaan itu dibeli dari Thailand pada harga lebih RM100,000 seunit selepas terpikat dengan keunikan reka bentuk dan fungsinya yang dilihat sewaktu menghadiri satu program sukan air di Pattaya, Thailand tahun lalu.
“Jetcar ini menarik kerana ia berfungsi seperti jetski tetapi memiliki reka bentuk kereta sepenuhnya. Setakat ini, saya percaya ia merupakan Jetcar pertama di Terengganu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Nazri yang juga Pengerusi Kelab Sukan Air Terengganu (TWS) yang fokus kepada jet ski berkata, pembelian kenderaan itu adalah pelaburan berbaloi memandangkan Terengganu terkenal pelbagai aktiviti sukan air dan tarikan pelancongan berasaskan sungai serta pantai.
“Buat masa ini, Jetcar ini digunakan secara peribadi namun saya merancang menyewakannya pada masa akan datang terutama ketika musim pelancongan atau cuti sekolah,” katanya.
Beliau yang juga pemilik restoran di Kuala Ibai berkata, dia kini memiliki tujuh unit Jetcar yang diusahakan bersama rakan kongsi dan digunakan untuk tujuan sewaan di destinasi pelancongan popular seperti Pulau Pangkor dan Langkawi serta melihat potensi besar untuk memperkenal konsep sama di negeri ini.
Dia berharap kewujudan Jetcar mampu menjadi tarikan baharu dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa sekali gus merancakkan lagi industri sukan air dan pelancongan di Terengganu.
Perarakan Bot Merdeka itu menyaksikan pelbagai bot berhias mengambil bahagian dalam sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dengan pelbagai rekaan kreatif termasuk bertemakan Jalur Gemilang, ikon negeri dan inovasi baharu seperti Jetcar.-UTUSAN










