‘Jangan undang fitnah, jika tidak mahu difitnah’ - Utusan Malaysia

‘Jangan undang fitnah, jika tidak mahu difitnah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FRASA yang sebenarnya sangat mudah untuk difahami tetapi jujurnya, tidak ramai yang mengerti sedalamnya. Kalau faham, tidaklah bertebaran fitnah yang dinyalakan sendiri dengan atau tanpa sedar.

Anda tidak boleh mengharapkan orang tahu, faham dan membela anda jika diri sendiri yang mengundang fitnah itu. Begitu juga dengan isu sensasi yang panas dibicarakan sejak dua menjak ini.

Apabila Zarina Anjoulie bertemu seorang lelaki sensasi yang dipercayai terlibat dengan dunia pronografi, tidak mungkin semua tahu niat perjumpaan itu hanyalah sekadar perbincangan antara kawan.

Pasti ada yang mula berprasangka buruk dan mula menyebar cerita yang tidak baik. Tetapi bila fitnah mula tersebar dan sensasi, anda mula panas punggung dan membela diri sendiri malah menyalahkan orang sekeliling.

Mulalah guna tiket saya Islam, tahu halal haram dan ada hati perlu dijaga. Sebab itu, Poklip cakap, frasa jangan undang fitnah, jika tidak mahu difitnah sangat mudah tetapi tidak semua faham.

Apatah lagi di era media sosial menjadi wahana paling dekat dengan masyarakat global merentasi generasi, kita tidak mampu menghalang buli siber, komen negatif atau fitnah yang tersebar.

Malah ada juga yang memang sengaja mengundang persepsi negatif hanya semata-mata untuk nama kekal relevan dan diperkatakan. Gunalah apa juga cara, positif, negatif mahupun jijik, asal ada viewers.

Selepas mendapat perhatian, mulalah produser pun panggil berlakon. Walaupun hasilnya memang menyakitkan mata penonton tetapi asal dapat engagement dan kecaman demi rating, tidak mengapa.

Lantas siapa harus kita salahkan? Poklip pernah menulis, jangan popularkan mereka yang berfikiran dangkal. Poklip tidak mahu guna perkataan bodoh kerana itu terlalu kasar. Kita semua ada akal.

Cuma yang membezakan adalah bagaimana kita meng­gunakan akal itu untuk diri sendiri. Baik buruk, kita tentu sendiri. Sebelum kita tekan butang hantaran dimuat naik itu, kita boleh fikir reaksi baik atau buruk kita bakal terima.

Poklip tidak hanya bercakap pasal selebriti . Kita sendiri sebagai masyarakat umum juga perlu bijak memilih siapa yang harus kita beri perhatian. Jangan pukul rata atau asal kelakar sahaja. Itu bahaya.

Sebab itu, sudah ada beberapa Tiktokers popular yang dahulunya normal kini sudah berani mempamerkan sisi berbeza. Malah ada juga yang berani melontarkan buah fikiran yang sedia maklum memang sengaja untuk tarik perhatian.

Maka, salah siapa? Salah mereka yang memberi sokongan untuk beberapa Tiktokers ini menjadi diri sendiri. Ini yang kita panggil toxic positivity. Pujian membawa rebah dan akhirnya menjadi barah.

Sudah-sudahlah. Murnikan industri seni dan hiburan kita. Jangan beri percikan populariti dan pujian yang memjadikan mereka ‘berani’ melawan arus normalisasikan manusia. 

Dan paling teruk, mereka anggap diri mereka penting. Seolah-olah membawa perubahan besar dalam kehidupan bermasayarakt walhal menghancurkan norma keadaban. 

Maaf cakap, hidup ini ibarat roda. Ada kala di atas, ada kala di bawah dan bila roda sudah rosak, terbenamlah ia. Sekian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN