PUTRAJAYA: Semua pihak diingatkan supaya lebih berpada-pada dan tidak mempolitikkan isu pendidikan tinggi terutamanya melibatkan seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sekiranya isu tersebut secara terus menerus dipolemikkan, ia dikhuatiri memberi kesan terhadap emosi pelajar berkenaan.
“Sering kali saya sebutkan bahawa ini adalah soal anak-anak yang akan melanjutkan pelajaran. Saya tidak mahu menjadikan ia sebagai satu isu permainan politik oleh mana-mana pihak. Dan saya sebutkan juga berkali-kali jika ada masalah, kita ada proses rayuan.
“Saya harap usah kita (panjangkan isu), cukup lah, berpada-pada lah. Saya faham ada yang nak membangkitkan (isu), tak apa kita faham. Tapi dalam masa yang sama, kita kena fikirkan juga nasib (pelajar). Orang akan cakap itu dan ini, ada komen positif, ada komen negatif tapi yang akan terkena kesannya adalah calon berkenaan.
“Jadi kita turut bersimpati dengan dia, jangan kita fikir hanya dari satu segi, dia sebagai pelajar yang menghadapi itu, kita sepatutnya mencari jalan bagaimana kita hendak membantu mungkin dengan pelbagai cara yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia Madani di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan persatuan pelajar yang mendakwa kemasukan pelajar STPM ke universiti awam seperti dipinggirkan walaupun mereka melalui laluan lebih sukar berbanding program matrikulasi.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, pihaknya juga terbuka untuk mengambil perhatian sekiranya terdapat sebarang kekurangan dalam proses kemasukan pelajar ke universiti awam.
“Dalam masa sama, apabila ada isu-isu yang dibangkitkan, kita terbuka untuk melihat kalau ada kesilapan teknikal atau pun kekurangan.
“Namun, untuk membuat tuduhan-tuduhan bahawa sistem ini rosak dan sebagainya, kita sendiri tahu, orang yang bercakap tentang sistem rosak ini, dia pernah berada di situ. Sistem ini telah dilaksanakan selama ini dan kita sering kali perbaiki dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar STPM, Edward Wong kecewa kerana tidak mendapat tempat melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) ke mana-mana universiti awam bagi jurusan perakaunan meskipun memperoleh pencapaian akademik tertinggi.
Edward yang berasal dari Pulau Pinang memperoleh keputusan penuh 4.0 CGPA, markah kokurikulum 9.9/10 serta merit keseluruhan 99.90 peratus. – UTUSAN