Jambatan bailey RM4.5 juta persiapan bencana alam di Terengganu 

Jambatan bailey RM4.5 juta persiapan bencana alam di Terengganu 

HANAFIAH Mat (tiga dari kanan) melakukan gimik penyerahan projek pembinaan Jambatan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu menerima perolehan sebuah jambatan bailey jenis Acrow 700XS yang bernilai RM4.5 juta sebagai persediaan untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, jambatan sepanjang 42.67 meter dengan 4.2 meter lebar itu menjadi aset penting sebagai keperluan dalam menghadapi bencana alam seperti banjir besar dan tanah runtuh. 

“Dengan adanya jambatan bailey ini, proses pemulihan jaringan jalan raya dapat dilakukan dengan lebih pantas untuk kemudahan penduduk di negeri ini jika berlaku bencana alam.  Buat masa ini, jambatan ini ditempatkan di Depo JKR Hulu Terengganu.

“Sekiranya berlaku jalan runtuh di Selatan atau Utara negeri iaitu dari Kemaman hingga ke Besut, kita gunakan jambatan bailey ini sebagai pengganti sementara jalan atau jambatan yang runtuh,” katanya selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Siap dan Penyerahan Aset Jambatan Bailey di bawah peruntukan Malaysian Road Records Information System (Marris) antara JKR kepada kerajaan negeri di Durian Mentangau, di sini hari ini. 

JKR diwakili Pengarah JKR Terengganu iaitu Ir. Dr. Hasli Ibrahim manakala kerajaan negeri Terengganu diwakili Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd. Azmi Mohamad Daham.

 Hanafiah berkata, JKR  menubuhkan Pasukan Jambatan Bailey negeri dianggotai 35 pegawai teknikal JKR yang terlatih untuk pemasangan jambatan bailey tersebut sekiranya diperlukan. 

Mengenai projek pembinaan semula jambatan di Durian Mentangau, katanya, projek itu menelan kos kira-kira RM5.76 juta manakala projek pembinaan jambatan baharu di Felcra Panchor Merah, Setiu pula bernilai RM4.9 juta. 

Ditanya mengenai projek pembinaan Hospital Kemaman yang baharu, beliau berkata, pihaknya memberi tempoh dua bulan kepada kontraktor projek untuk menunjukkan perkembangan. 

“Setakat ini projek pembinaan hospital yang bernilai RM450 juta itu  mencapai kira-kira 60 peratus dan kita telah memberi lanjutan masa (EOT) sebanyak enam kali sebelum ini. Kita beri peluang kepada kontraktor ini untuk menunjukkan kemajuan, kalau tidak berhasil, kita terpaksa tamatkan kontrak mereka dan kita harap projek itu dapat disiapkan hujung tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN