KUALA LUMPUR: Pelakon berpengalaman, Ellie Suriaty mengakui berasa bimbang setiap kali melontarkan dialog ketika membawakan watak pengamal ajaran sesat dalam drama terbaharu lakonannya, Ibu Aji.
Menurut Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar, 55, setiap hari dia memohon ampun kepada Allah SWT dan berdoa agar urusan penggambaran dipermudahkan sebelum melangkah ke set.
“Sebelum mula penggambaran saya akan berdoa dan minta ampun banyak-banyak. Doa itu saya mulakan sejak dalam van menuju ke lokasi hingga selesai penggambaran.
“Saya mohon Allah lancarkan kata-kata dan pemikiran kerana tanpa doa, dialog terasa tersekat,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Ibu Aji di Aurum Theatre, The TRX Exchange, di sini, semalam.
Mengulas mengenai kecaman netizen, Ellie menegaskan mesej yang terkandung dalam karya tersebut lebih penting untuk dinilai oleh penonton.
Katanya, watak antagonis yang dilakonkan itu menjadi cerminan terhadap gejala penyelewengan ajaran sesat yang berlaku dalam masyarakat.
“Saya sudah terima kecaman kerana bawa watak ini, namun penonton perlu lihat dari sudut yang lebih luas.
“Walaupun berlakon ajaran sesat, Allah tahu niat saya hanya untuk beri pengajaran.
“Saya beri contoh ajaran sesat Ayah Pin, pengikutnya ada yang profesional dan berpendidikan, tetapi tetap terpesong. Itulah yang kita mahu penonton fikirkan,” jelasnya.
Drama Ibu Aji arahan Amor Rizan itu diinspirasikan daripada kisah benar, mengangkat kisah seorang wanita yang menyebarkan ajaran sesat di sebuah kampung.
Karya terbitan penerbit terkenal, Erma Fatima itu akan ditayangkan secara eksklusif menerusi aplikasi Karya Reels dengan bayaran RM10 bagi setiap tontonan. -UTUSAN










