KUALA LUMPUR: Kolej Universiti Inovatif (IUC) terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Renewal Energy Promotion Cooperatives (Jepun) di EXPO 2025 Osaka, Kansai, Jepun, hari ini.
Presiden IUC, Shahawati Umar berkata, inisiatif tersebut adalah bukti komitmen IUC dalam melahirkan pemimpin masa depan yang mampu bersaing dalam ekonomi global yang sangat dinamik.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperluaskan horizon pelajar kami, malah membawa misi IUC ke pentas global.
“Kami percaya pendedahan awal kepada persekitaran industri antarabangsa seperti di Jepun akan membentuk graduan yang lebih bersedia, berwawasan dan mampu menyumbang kepada masa depan tenaga lestari,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Majlis menandatangani MoU antara IUC, UiTM dan Pumar Solar Power bersama Renewal Energy Promotion Cooperatives berpengkalan di Jepun bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui serta membuka laluan kerjaya global kepada pelajar IUC, khususnya dalam industri tenaga solar Jepun yang berkembang pesat.
Tambah beliau, MoU ini menetapkan tiga objektif utama iaitu pendidikan dan kerjaya global dengan menyediakan laluan kepada pelajar IUC untuk menjalani latihan industri, pendedahan antarabangsa dan peluang kerjaya di Jepun.
“Kedua, mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun dalam bidang tenaga baharu dan boleh diperbaharui.
“Ketiga bagi menyokong pertukaran kepakaran dan pembangunan teknologi melalui penyelidikan bersama serta program pembangunan modal insan,” jelasnya.
Selain itu, kolaborasi ini turut merangkumi inisiatif pemindahan teknologi dan penyelidikan bersama yang akan memperlengkap graduan Malaysia dengan kemahiran masa hadapan dan menjadikan Jepun sebagai rakan strategik dalam kelestarian serantau.
“Ia sekali gus membuktikan komitmen IUC untuk menyediakan pendidikan yang relevan, berimpak tinggi dan bertaraf global.
“Ia juga selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing tetapi turut menyumbang kepada agenda kelestarian sejagat,” ujarnya lagi.
Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Mad Zaidi Mohd. Karli.
Turur hadir pada majlis ini termasuk Muhammad Anas Mohd Bukhori (C.A.(M)) (Pemangku Naib Canselor), Prof Datuk Wira Dr. Azizan Osman (Ahli Lembaga Pengarah), Dr. Muhammad Syamil Mohd Shamsul (Pengarah Projek), Muhamad Afiq Hakim Shamsul Anuar (Pengurus Projek) dan Ainaa Nabilah Mohd Nazri (Pengurus Projek)
Tidak ketinggalan wakil UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin (Naib Canselor), Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi (Timbalan Naib Canselor), Prof. Ir. Dr. Nofri Yenita Dahlan (Pengarah Institut Penyelidikan Solar), Prof. Madya Dr. Zuhaila Mat Yasin (Ketua Kampus Solar dan Large Scale Solar) dan Muhammad Azfar Shamil Abd Aziz (Pegawai Penyelidik).
Manakala Pumar Solar Power Sdn. Bhd pula diwakili Nor Azam Haji Kamisan (Presiden) dan Masliza Abu Bakar.
Sementara itu, Renewal Energy Promotion Cooperatives berpengkalan di Jepun disertai Akagi Takaaki (Pengerusi) dan Sato Toshiaki (Pengarah Luar).