PETALING JAYA: Pelakon, Fattah Amin, tersipu-sipu mendedahkan nama panggilan manja, ‘isteri syurga’ yang diberikannya buat isteri yang juga penyanyi, Amira Othman.
Jelas Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35, sebelum sah bergelar suami, dia memang sering memanggil Amira sebagai ‘bakal isteri syurga’ kerana yakin bahawa kata-kata itu akan menjadi doa buat Amira.
“Sebelum ini, saya suka panggil dia bakal isteri syurga. Sekarang, isteri syurga pula.
“Kita jadikan itu satu doa,” katanya ketika ditemu ramah oleh pengacara Sissy Imann dan Awal Ashaari semasa majlis resepsi malam tadi.
Bagaimanapun, Fattah nampak malu-malu dan segan ketika diminta untuk menyampaikan ucapan istimewa buat isteri.
“Yang itu saya cakap dalam bilik sahajalah,” katanya seperti yang tertera dalam video yang dimuat naik pihak Unifi di Instagram.
Dalam pada itu, Amira juga mengambil kesempatan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus mendoakan kebaikan buat dirinya dan suami, Fattah Amin.
“Terima kasih yang meraikan saya dan Fattah, mendoakan yang baik-baik untuk kami. Semoga doa itu akan berbalik juga kepada anda semua,” katanya.
Terdahulu, Fattah dan Amira selamat disatukan sebagai suami isteri jam 9.07 malam di sebuah hotel di Sepang dengan sekali lafaz.
Beberapa rakan selebriti turut hadir menyerikan majlis antaranya Nabila Razali, Tasha Manshahar, Datin Paduka Umie Aida dan Betty Rahmad. –UTUSAN