Israel didesak hentikan keganasan, harap misi Global Sumud Flotilla diteruskan - PM

Israel didesak hentikan keganasan, harap misi Global Sumud Flotilla diteruskan – PM

ANWAR Ibrahim melawat pasar tani Putrajaya selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani Yang Ke-40 Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan sokongan kepada misi kemanusiaan melalui kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang bakal memasuki Zon Kuning pada bila-bila masa dengan mengharapkan misi itu kekal diteruskan.

Pada masa sama, Perdana Menteri mendesak, keganasan dan kezaliman dibuat Israel terhadap penduduk Gaza juga perlu dihentikan segera.

“Masih mengharap berterusan (pergerakan GSF ke Gaza). Kezaliman dan keganasan Israel mesti henti segera,” katanya pada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke-40 Peringkat Kebangsaan di sini tadi.

Difahamkan, misi GSF yang turut disertai 34 sukarelawan Malaysia sedang berlayar di perairan antarabangsa dan bakal memasuki Zon Kuning pada bila-bila masa bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Semalam, portal berita New Arab melaporkan beberapa negara memberi amaran kepada rakyat masing-masing yang menyertai GSF bahawa konvoi itu terdedah kepada serangan Israel pada bila-bila masa.

Portal berita itu memetik kenyataan Global Sumud Flotilla yang mengesahkan Israel meneruskan serangan kejam di Semenanjung Gaza.

Selain itu, GSF turut menerima maklumat risikan yang dipercayai sahih mengenai ancaman serangan Israel terhadap flotila mereka dalam tempoh 48 jam akan datang.

Difahamkan, serangan tersebut dijangka melibatkan penggunaan senjata berat yang berupaya menenggelamkan kapal, mencederakan malah membunuh peserta misi kemanusiaan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN