Integrasi sistem MyKad pastikan tidak disalah guna BUDI95

Integrasi sistem MyKad pastikan tidak disalah guna BUDI95

SAIFUDDIN nasution Ismail meninjau pengoperasian penukaran cip rosak MyKad di Ibu Pejabat JPN Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah melakukan penyelarasan dan integrasi sistem MyKad dengan Kementerian Kewangan (MoF) agar pengenalan diri setiap warganegara tidak disalah guna individu bagi mendapatkan subsidi petrol BUDI95.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mendapat aduan mengenai lebih 100 MyKad hilang yang telah digunakan individu lain bagi menebus kredit Sumbangan Asas Rahmah (SARA) baru-baru ini.

“Apabila individu kehilangan MyKad, mereka perlu melaporkan kepada JPN bagi tujuan dinyah aktif dalam sistem.

“Bagaimanapun, bagi kes salah guna tebus SARA itu, JPN telah pun nyahaktifkan MyKad itu namun ia tidak berlaku di peringkat MoF.

“Jadi, kedua-dua sistem iaitu JPN dan MoF perlu disaling hubung terlebih dahulu bagi memastikan ia tidak disalah guna,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pengoperasian penukaran cip rosak MyKad di Ibu Pejabat JPN Putrajaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut isu salah guna tebus SARA itu, Saifuddin berkata, pihaknya telah mengesan sekitar 100 aduan berkaitan dan walaupun jumlah itu kecil namun, penambahbaikan telah diambil.

Dalam pada itu, katanya, beliau menggalakkan orang ramai supaya membuat penukaran segera MyKad bagi meminimakan gangguan pada hari penebusan BUDI95 nanti.

“Jika berlaku juga gangguan juga pada hari itu, saya dimaklumkan MoF juga telah umumkan bahawa orang ramai boleh ke kaunter minyak dan memasukkan nombor MyKad secara manual,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam mengumumkan tawaran penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula hari ini hingga 7 Oktober depan bagi memastikan rakyat dapat menikmati subsidi BUDI95 tanpa gangguan teknikal.

Mengikut rekod JPN, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menerima sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad di bawah kategori cip atau kad rosak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN