Inkues Zara Qairina: Semua peguam kembali menjadi pihak berkepentingan

Inkues Zara Qairina: Semua peguam kembali menjadi pihak berkepentingan

KOMPLEKS MAHKAMAH KOTA KINABALU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner sebentar tadi membenarkan permohonan peguam-peguam yang mewakili lima remaja bawah umur yang didakwa terlibat dengan kes buli Zara Qairina Mahathir untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues membabitkan kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Koroner Amir Shah Amir Hassan memutuskan demikian atas alasan kepentingan semua pihak perlu dilindungi.

“Selepas membaca dan mendengar hujah kesemua pihak, saya mendapati hujah berkait dengan lima juvenil tersebut hanyalah spekulasi. Kesemua kepentingan semua pihak berhak dilindungi.

“Saya benarkan permohonan peguam bagi remaja pertama hingga kelima sebagai pihak berkepentingan. Syarat-syarat yang dikenakan kepada peguam ibu bapa, turut terpakai kepada peguam-peguam lima remaja,”kata Amir Shah.

Sebagai pihak berkepentingan, pihak yang diberikan keterangan dibenarkan untuk bertanya soalan tetapi bukan dalam cara soal balas, akan dibekalkan dokumen termasuk pernyataan saksi berkaitan prosiding.

Pada awal prosiding, peguam-peguam mewakili ibu bapa Zara Qairina, Noraidah Lamat dan Mahathir Mohd. Hashim telah diberi kebenaran oleh mahkamah untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut selepas tidak mendapat sebarang bantahan daripada mana-mana phak.

Persatuan Guaman Sabah (SLS) turut dibenarkan untuk berada dalam inkues terbabit sebagai peguam pemerhati dan amicus curie (sahabat mahkamah).

Terdahulu, peguam mewakili ibu Zara Qairina, Rizwandean M. Borhan mengemukakan bantahan terhadap permohonan yang dikemukakan oleh peguam-peguam bela remaja itu.

Hujahnya, permohonan yang dibuat adalah pramatang malahan pertuduhan yang dihadapi oleh lima remaja terbabit tidak berkaitan dengan tujuan inkues dijalankan iaitu bagi mencari punca kematian Zara Qairina.

“Ia seperti mereka (peguam bela tertuduh) sedang melakukan raptai (rehearsal) bagi kes di Mahkamah Kanak-Kanak,”kata peguam itu.

Turut berkongsi sentimen yang sama ialah peguam Jamadi Saleh bagi pihak SLS yang turut menyatakan bahawa inkues bertujuan untuk mencari punca kematian.

Sementara itu, peguam-peguam yang mewakili lima remaja terbabit, Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Azhier Farhan Arisin menghujahkan kehadiran mereka sebagai pihak berkepentingan hanyalah bagi menjaga kepentingan anak-anak guamnya.

“Kalau kami hanya dibenarkan sebagai peguam pemerhati dan perlu membuat permohonan untuk membantah soalan yang ditanya kepada anak guam kami, ia akan menyusahkan dan melambatkan prosiding,”katanya.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Duncan Sikodol membatalkan perintah Mahkamah Koroner terdahulu yang membenarkan pihak-pihak tersebut menjadi pihak berkepentingan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN