PETALING JAYA: Jakarta sinonim dengan kesesakan lalu lintas kini bertukar lengang apabila perjalanan lazimnya mengambil masa berjam-jam hanya memakan masa sekitar 10 hingga 15 minit susulan insiden rusuhan melanda ibu negara Indonesia itu.
Pempengaruh media sosial, Ainee Suhaidi berkata, keadaan di Jakarta ketika ini masih terkawal meskipun beberapa lokasi utama terjejas akibat demonstrasi tersebut.
“Keadaan jalan raya agak lengang tetapi tidaklah kosong sepenuhnya kerana penduduk tempatan memilih untuk tidak keluar.
“Bagi pelancong pula, semuanya masih terkawal. Kami bergerak menggunakan perkhidmatan Grab dan pemandu sentiasa memberi maklumat sekiranya perlu mengambil laluan lebih jauh untuk mengelakkan kawasan berisiko,” kepada Utusan Malaysia.
Ainee yang tiba di Jakarta pada hari protes bermula berkata, ketika itu laluan tol yang terbakar menyebabkan perjalanan ke hotel mengambil masa hampir dua jam berikutan kesesakan teruk.
“Bagi plaza tol yang terbakar, masih ada pekerja di kaunter tol menerima bayaran secara manual. Jadi, pengguna jalan raya tetap perlu membayar tol walaupun kaunter bayaran sudah musnah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keadaan Jakarta kini beransur pulih termasuk banyak butik mewah kembali beroperasi seperti biasa selain kerja-kerja membaik pulih infrastruktur rosak giat dijalankan.
Katanya, banyak kawasan lain di Jakarta masih boleh dikunjungi pelancong termasuk Pantai Indah Kapuk (PIK) 1 dan 2, Grand Indonesia, Plaza Indonesia dan Thamrin yang selamat untuk dilawati.
Namun kawasan sekitar Senayan termasuk pusat beli-belah masih tidak dibenarkan masuk kerana berada dalam zon protes, malah hotel tidak membenarkan tetamu mengunjungi kawasan tersebut.
Beliau berada di sana sehingga Rabu ini berkata, setakat ini tiada masalah untuk pulang ke Malaysia kerana lapangan terbang dikawal ketat oleh tentera bagi memastikan keselamatan terjamin.
Tinjauan di beberapa platform media sosial mendapati rata-rata pengguna masih berbelah bahagi mengenai keputusan untuk meneruskan atau menangguhkan percutian ke Indonesia susulan ketegangan yang berlaku di Jakarta dan beberapa kawasan lain.
Mereka mengakui masih ragu-ragu sama ada mahu meneruskan percutian ke negara itu atau menangguhkannya setelah mengambil kira faktor keselamatan meskipun tiket penerbangan sudah ditempah.
Sebelum ini, rusuhan di ibu negara Indonesia semakin memuncak sejak minggu lalu apabila balai polis dan kemudahan awam menjadi sasaran beberapa tindakan vandalisme selepas protes berhari-hari bertukar ganas.-UTUSAN










