Indeks Pelopor catat kadar pertumbuhan sederhana 114.3 mata pada Julai - Utusan Malaysia

Indeks Pelopor catat kadar pertumbuhan sederhana 114.3 mata pada Julai

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pertumbuhan tahunan Indeks Pelopor (IP) terus menyederhana pada Julai 2025 dengan mencatatkan penurunan 0.5 peratus kepada 114.3 mata berbanding 114.9 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan dua digit dalam Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain sebanyak negatif 16.3 peratus dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (-13.4 peratus) mempengaruhi prestasi yang perlahan. 

“Sebaliknya, prestasi bulanan kembali pulih kepada 0.5 peratus pada Julai 2025 selepas mencatatkan negatif 0.3 peratus pada bulan sebelumnya. 

“Pemulihan ini didorong oleh prestasi memberangsangkan lima daripada tujuh komponen terutamanya Import Benar Semi Konduktor sebanyak 0.5 peratus,” katanya dalam kenyataan. 

Jelasnya, meneliti arah aliran jangka panjang terlicin pada Julai 2025, IP kekal berada di bawah 100.0 mata, namun ekonomi Malaysia dijangka berada pada trajektori sederhana pada masa hadapan. 

“Prestasi sektor yang lebih kukuh dan permintaan dalam negeri yang stabil akan meletakkan negara pada kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi cabaran global.

“Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi ekonomi semasa secara keseluruhan, meningkat 2.2 peratus kepada 129.7 mata pada Julai 2025 berbanding 126.9 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

“Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan positif merentasi semua komponen IS, dengan Nilai Caruman Benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai penyumbang utama, mencatatkan 5.4 peratus. 

“Pada masa yang sama, prestasi bulanan IS mengukuh sebanyak 1.2 peratus, didorong oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian dan Nilai Caruman Benar, KWSP, masing-masing merekodkan peningkatan 0.3 peratus,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN