PETUGAS: Impian seorang graduan cemerlang Kolej MARA, Kuala Nerang untuk menyambung pengajian ke Universiti Petronas (UTP) tidak kesampaian selepas meninggal dunia, semalam akibat sakit tumor otak.
Muhammad Danish Rizqin Mohd. Zawawi, 19, baru sahaja menghabiskan pengajian dalam bidang Asasi Perniagaan dan sepatutnya mendaftar ke UTP dua hari lalu.
Bagaimanapun, dia terpaksa menangguhkan sesi pendaftaran bagi pelajar baharu kerana perlu menjalani rawatan di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya bagi mengurangkan kesakitan.
Menurut bapanya, Mohd. Zawawi Seman, anaknya yang mesra disapa Rizqin mula dikesan menghidap DIPG pada tahun Mei 2024 sebaik tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tetap bersemangat meneruskan pengajian di Kolej MARA itu.
“Sebelum ini Rizqin seorang pelajar aktif dalam sukan ragbi. Ketika diserang sakit itu pada tahun lalu, dia tiba-tiba mengadu tidak nampak, hilang keseimbangan badan dan sakit kepala kuat.
“Kami segera membawa ke hospital dan hasil ujian melalui mesin imbasan otak (MRI), doktor mengesahkan dia menghidap DIPG iaitu sejenis tumor otak yang tumbuh di bahagian otak yang penting dipanggil pons, terletak di tengah-tengah batang otak,” katanya ketika ditemui di IKN, di sini.
Menurutnya, tumor ini tidak tumbuh sebagai ketumbuhan jelas seperti benjolan, sebaliknya, ia menyebar meresap ke dalam tisu otak di sekitarnya, jadi ia sukar dibedah atau dikeluarkan sepenuhnya.
Menurut doktor yang merawatnya, DIPG ini hampir selalu terjadi pada kanak-kanak, terutamanya dalam lingkungan umur 5 hingga 10 tahun, tetapi berbeza pula dengan Rizqin apabila ditimpa pada usia 18 tahun.
Tumor otak ini amat jarang berlaku tetapi sangat agresif, tumbuh di kawasan penting yang mengawal fungsi hidup harian seperti menelan, bernafas dan keseimbangan.
“Arwah salah seorang penerima biassiswa MARA, sebelum ini dia tamat SPM di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak dan Ketua Asrama dan Presiden Ragbi sekolah.
“Dia seorang yang tidak pernah patah semangat walaupun dalam kesakitan. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi dia. Semoga ia memberi semangat kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai impian walaupun ada cabaran,” katanya. – UTUSAN