Hukuman kes simpan sumbu badak sumbu ditangguh, tertuduh masuk hospital

Hukuman kes simpan sumbu badak sumbu ditangguh, tertuduh masuk hospital

SEORANG Tertuduh ketika hadir bagi mendengar keputusan atas kesalahan menyimpan 50 unit sumbu badak sumbu tanpa permit khas tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan keputusan hukuman terhadap dua lelaki yang mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan 50 unit sumbu badak sumbu tanpa permit khas, tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman menetapkan 15 Oktober ini sebagai tarikh baharu selepas dimaklumkan bahawa tertuduh kedua, Muhammad Hafiszan Naser, dimasukkan ke hospital akibat masalah gastrousus.

Peguam tertuduh, Abdul Aziz Hamzah, memaklumkan anak guamnya kini menjalani rawatan dan tidak dapat hadir ke mahkamah dan hanya seorang lagi tertuduh iaitu Mohamad Sukry Wahab hadir di kandang tertuduh.

Ahmad Fuad kemudian meminta penjamin Muhammad Hafiszan memberi penjelasan lanjut berhubung ketidakhadiran itu.

Saudara perempuan Muhammad Hafiszan yang berada di galeri awam memaklumkan bahawa beliau menerima berita kemasukan tertuduh ke hospital kira-kira pukul 10 malam tadi selepas tergelincir di tandas hingga menyebabkan muntah dan tidak dapat bergerak.

Menurutnya, isteri tertuduh memaklumkan pada pagi ini bahawa Muhammad Hafiszan akan menjalani imbasan kesihatan di hospital.

Selepas mendengar penjelasan itu, Ahmad Fuad memutuskan bahawa kedua-dua tertuduh perlu hadir pada prosiding seterusnya untuk mendengar keputusan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Danial Munir, manakala Mohamad Sukry diwakili peguam Aqeeb Lizalman Nordin Zamery.

Pada April lalu, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyimpan 49 unit sumbu square-lipped rhinoceros (Ceratotherium simum) dan satu unit sumbu black rhinoceros (Diceros bicornis) tanpa permit khas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN