KUALA TERENGGANU: Kebanjiran pelancong sempena cuti panjang sambutan Hari Malaysia dan cuti sekolah menyebabkan hampir semua hotel di negeri ini ditempah sepenuhnya hingga hujung minggu ini.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun berkata, situasi ini memberi isyarat positif terhadap industri pelancongan negeri yang saban kali menjadi tumpuan ketika musim cuti panjang.
Beliau yang juga Pengurus Besar Hotel Primula berkata, pengurusan hotel juga terpaksa menolak tempahan baharu termasuk yang dibuat melalui panggilan telefon serta pelanggan walk-in.
“Majoriti hotel di bawah MAH Terengganu sudah penuh hingga hujung minggu ini. Malah ada yang menerima tempahan lebih awal sejak sebulan lalu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau optimis trend ini berterusan sehingga hujung tahun susulan promosi pelancongan yang giat dijalankan selain pengiktirafan Terengganu sebagai destinasi mesra keluarga dan negeri paling bahagia di Malaysia, baru-baru ini.
Selain pantai dan pulau yang popular, tumpuan pelancong turut terarah ke pusat bandar Kuala Terengganu khususnya Pasar Payang serta lokasi ikonik lain seperti Masjid Kristal dan Jambatan Angkat.
Keadaan ini sekali gus memberi limpahan rezeki kepada peniaga kecil, pengusaha makanan serta penyedia perkhidmatan pelancongan apabila jumlah pengunjung meningkat dengan ketara.
Seorang pekerja hotel di bandar raya ini turut menasihatkan pengunjung agar tidak menunggu saat akhir untuk membuat tempahan kerana lazimnya semua bilik sudah penuh.
“Kerap berlaku pengunjung datang walk-in untuk mencari bilik tetapi kami memang tidak dapat bantu kerana semua bilik sudah penuh,” katanya.
Situasi sama turut berlaku di Melaka, apabila hampir 90 peratus daripada 109 hotel bajet sekitar Banda Hilir habis ditempah sejak Jumaat lalu sepanjang cuti panjang sempena Hari Malaysia dan cuti persekolahan.
Pengerusi Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Melaka, Norsalenawaty Mohammad Salleh berkata, bukan setakat hotel bajet di sekitar Banda Hilir malah di kawasan pantai peranginan Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak juga sama.
Katanya, cuti panjang kali ini menyebabkan pelancong dari luar negeri ini berkunjung ke serata lokasi di Melaka.
“Kali ini, hotel bajet kebanyakannya habis ditempah jika dibandingkan dengan cuti Hari Kebangsaan baru-baru ini.
“Pelbagai aktiviti dianjurkan kerajaan negeri seperti Pesta Pantai Tanjung Bidara, Food Mania Festival, Program Keretapi Sarong dan Festival Ukulele Malaysia 2025 di Mahkota Parade menjadi tarikan ribuan pengunjung ke Melaka,” katanya. – UTUSAN











