PETALING JAYA: Kira-kira 3,000 penduduk Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhadapan senarai pemutihan ekoran syarat baharu kontrak penyewaaan rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menetapkan kelayakan tempat bekerja di ibu negara meskipun pejabat terletak dalam Lembah Klang.
Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, Hussen Zulkarai berkata, antara syarat baharu lain menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penghuni ialah penetapan had pendapatan isi rumah meskipun mereka menampung kos sara kehidupan yang tinggi.
Beliau berkata, hampir 3,000 penghuni masih menanti jawapan rasmi DBKL berhubung penyambungan kontrak sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan kediaman masing-masing.
Katanya, sebahagian besar penghuni merupakan keluarga yang dipindahkan daripada penempatan setinggan sejak kira-kira 20 tahun lalu, malah ada yang telah membeli unit kediaman berkenaan manakala sebahagian besar masih menyewa.
“Sebagai contoh, seorang penghuni yang sudah lama bekerja dengan syarikat tertentu mungkin terpaksa dianggap melanggar syarat hanya kerana syarikat itu berpindah pejabat ke kawasan sempadan Selangor, sedangkan jaraknya kurang 10 kilometer dari rumah mereka.
“Adakah wajar individu tersebut dikenakan tindakan tidak disambung kontrak sedangkan mereka hanya mengikut syarikat yang sama? Jika ini diteruskan, ramai penghuni berdepan risiko tidak disambung kontrak tanpa diberi peluang menjelaskan keadaan sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hussen berkata, syarat itu juga dilihat tidak wajar kerana kebanyakan anak-anak penghuni belajar di sekolah berhampiran.
“Penghuni PPR dan PA ini manusia, mereka ada keluarga, anak-anak bersekolah, malah ada yang tinggal sehingga tujuh sekeluarga dalam satu rumah.
“Tetapi mereka diminta keluar hanya kerana syarat sebegini, ia memang tidak masuk akal,” katanya.
Mengulas had pendapatan isi rumah, Naik Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Desa Rejang, Mustaffa Kamal Syaripuddin pula berkata, perbelanjaan asas keluarga PPR atau PA bagi yang mempunyai tiga anak sudah mencecah lebih RM4,000 sebulan termasuk kos sekolah, makanan, pengangkutan, sewa rumah serta ansuran kenderaan.
“Itu belum termasuk tol, kos penyelenggaraan kenderaan, buku sekolah, internet dan barangan keperluan lain. Jika ada anak kecil yang menyusu dan memakai lampin pakai buang, perbelanjaan boleh meningkat lagi kira-kira RM600 sebulan.
“Belum masuk lagi kos rawatan apabila anak sakit, simpanan untuk hari raya atau perbelanjaan Ramadan. Jadi, had pendapatan yang ditetapkan tidak menggambarkan realiti kos sara hidup sebenar penghuni,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap DBKL mengambil kira realiti kehidupan penghuni sebelum menguatkuasakan syarat-syarat baharu tersebut bagi mengelakkan lebih ramai terkesan. – UTUSAN










