Helah pekerja asing ‘pinjam muka’ untuk lepas Fomema gagal

Helah pekerja asing ‘pinjam muka’ untuk lepas Fomema gagal

ZAKARIA Shaaban (tengah) menunjukkan barangan kes selepas sidang akhbar berkenaan 'Operasi Khas Imigresen' di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Licik memperdaya sistem saringan kesihatan pekerja asing demi kelangsungan bekerja di negara ini, helah sindiket warga Bangladesh yang memalsukan pasport akhirnya terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Sindiket itu dikesan menjalankan kegiatan di dua kediaman berasingan di Jalan Jelawat dan Jalan Razak Mansion, Kuala Lumpur sebelum ditumpaskan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi khas hasil risikan tiga minggu itu berjaya menahan dua dalang utama dan tiga lagi anggota sindiket berusia 19 hingga 41 tahun.

“Semakan awal mendapati tiga daripadanya mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan, seorang pelajar dan seorang lagi tidak memiliki dokumen sah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Zakaria, sindiket terbabit menawarkan pasport palsu dari pelbagai negara termasuk Bangladesh, India, Pakistan, Myanmar, Nepal dan Indonesia.

Ejen warga Bangladesh bertindak mencari pelanggan yang gagal memenuhi tahap kesihatan untuk pemeriksaan di klinik-klinik panel Fomema.

“Ahli sindiket yang sihat akan digunakan sebagai ‘pengganti’ untuk jalani ujian kesihatan menggunakan pasport palsu berkenaan, sedangkan butiran di pasport adalah milik pelanggan sebenar,” ujarnya.

Difahamkan, bayaran antara RM150 hingga RM250 dikenakan bagi setiap pasport palsu. Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Dalam serbuan itu, JIM merampas lapan pasport Bangladesh dan satu pasport India yang tulen, tiga pasport Bangladesh serta empat pasport Indonesia yang disyaki palsu.

Turut dirampas ialah peralatan memalsukan dokumen seperti komputer, pencetak, alat pemotong kertas, dakwat, benang, muka surat pasport pelbagai negara dan kulit pasport siap cetak.

Selain itu, 11 telefon bimbit, sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz serta wang tunai RM2,100 turut disita.

Kesemua warga asing berkenaan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(i) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN