PUTRAJAYA: Pembangunan semula Kampung Sungai Baru kelak dijamin akan mengekalkan pemilikan orang Melayu dengan nilai hartanah yang mampu dimiliki kaum itu berdasarkan hak rizab tanah Melayu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, ketetapan itu juga telah dijelaskan berulang kali sebelum ini termasuk di Dewan Rakyat dengan mengambil kira garis panduan di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267).
Menurut beliau, berdasarkan garis panduan tersebut ia sudah cukup jelas dalam memastikan pemilikan adalah berpaksikan kepada kepentingan kaum Melayu mengikut kategori dan bentuk pembangunan yang dijalankan.
“Berdasarkan garis panduan itu, jika tanah itu adalah tanah rizab Melayu, jadi memang tiada kompromi, 100 peratus kena orang Melayu (miliki). Tetapi jika tanah projek itu adalah projek dilaksanakan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) misalnya secara bersama, maka 70 peratus pemilikannya harus orang Melayu dan sekiranya projek swasta, syaratnya adalah 40 peratus harus ada pemilikan orang Melayu.
“Baik di pihak saya mahu pun Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), kita memastikan supaya pemilikan itu mampu milik atau pun boleh dimiliki oleh bangsa Melayu. Saya tak kata lah bangsa Melayu tak boleh memiliki hartanah jika harganya tinggi, ada sahaja yang mampu.
“Tetapi kita akan berusaha untuk memastikan harga itu adalah harga yang mampu milik seboleh yang mungkin,” katanya menerusi sidang akhbar khas di Menara Sri Wilayah di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, pemaju Kampung Sungai Baru perlu membina perumahan yang mampu dibeli oleh orang Melayu memandangkan tanah itu adalah hak milik kaum berkenaan yang diberikan oleh Sultan Selangor ketika itu pada zaman British.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pemaju perlu memahami keunikan tanah Kampung Sungai Baru dan sebarang usaha membangunkan kawasan itu perlu memelihara dan mengambil kira kepentingan orang Melayu.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, pihaknya ketika ini sedang giat berunding dengan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti UDA Holdings, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Teraju untuk mencari mekanisme harga mampu milik bagi memudahkan pemilikan dalam kalangan orang Melayu.
Jelasnya lagi, beliau turut bekerjasama rapat dan sering mengadakan perbincangan dengan Johari berhubung perkara membabitkan pembangunan Kampung Sungai Baru.
“Seperti orang kata sebuah kapal kena ada seorang nakhoda, kalau ada dua tiga nakhoda nanti tak tentu hala pula. InsyaAllah selama mana saya sebagai Menteri Wilayah, saya yakin dan Datuk Johari pun biasa berbincang dengan saya, kita akan berusaha untuk membantu orang Melayu.
“Seperti yang selalu saya sebut dan janjikan, kita akan jadikan kampung Melayu itu kekal identiti Melayu. Malah, bentuk bangunan yang mereka (pemaju) hendak buat pun saya minta pastikan ada unsur-unsur kemelayuan.
“Kita akan cuba pastikan dan lontarkan perkara ini kepada pemaju dan di kalangan penduduk juga ada mereka beri pandangan bagaimana mereka mahu bentuk bangunan itu,” ujarnya. – UTUSAN