Hari ketiga pelaksanaan SARA rekod tertinggi 1.1 juta transaksi

Hari ketiga pelaksanaan SARA rekod tertinggi 1.1 juta transaksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penyaluran SARA bulanan mencatat jumlah transaksi tertinggi setakat ini, dengan lebih 1.1 juta transaksi berjaya disempurnakan, semalam.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, ini melibatkan nilai jualan sebanyak RM75.3 juta setakat pukul 10.30 semalam, berbanding RM50 juta pada 31 Ogos lalu.

Katanya, kadar transaksi yang berjaya juga telah meningkat kepada 95 peratus berbanding 79 peratus bagi tempoh sama.

“Secara keseluruhan, lebih 2.9 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA dalam tempoh tiga hari, dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM192.4 juta di seluruh negara,” katanya.

Menurut MOF, peningkatan jumlah transaksi sejak 31 Ogos menyebabkan sistem MyKasih berdepan pencanakan trafik yang mencecah lebih 2,000 transaksi diluluskan seminit, berbanding rekod terdahulu sekitar 540 transaksi seminit pada April lalu.

Katanya, ini merupakan peningkatan hampir empat kali ganda berbanding kapasiti puncak sebelum ini.

Justeru, bagi meningkatkan kelancaran sistem, MOF berkata, kapasiti pemprosesan telah dipertingkatkan daripada 5,000 kepada 15,000 kuiri seminit.

“Satu transaksi lazimnya melibatkan beberapa permintaan sistem termasuk imbasan MyKad, bacaan barangan dan pengesahan akhir.

“Peningkatan ini dijangka akan mempercepat proses transaksi dan meningkatkan keselesaan pengguna,” katanya.

MOF menghargai sambutan menggalakkan daripada para penerima dan sebarang maklum balas orang ramai akan terus menjadi rujukan penting dalam usaha menambah baik sistem agar lebih cekap dan mesra pengguna.

Kredit RM100 Penghargaan SARA kekal sah sehingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN