Warden haramkan pelajar buat panggilan pada hari Zara Qairina ditemukan

Warden haramkan pelajar buat panggilan pada hari Zara Qairina ditemukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketua warden, Azhari Abd. Sagap ‘mengakui’ bahawa beliau mengeluarkan arahan bagi menghalang mana-mana penghuni Blok A Rabiatul Adawiyah daripada membuat sebarang panggilan pada hari pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, arahan tersebut hanya berkuat kuasa pada tarikh tersebut sahaja.

“Saya tidak ada arahkan suis telefon awam ditutup cuma pada 16 Julai lalu, saya maklumkan dalam group WhatsApp warden dan seorang guru, ayat saya ialah `haramkan pelajar buat panggilan telefon hari ini’. Arahan saya untuk 16 Julai sahaja,” katanya.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fairuz Johari yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues kematian remaja terbabit di sini hari ini, saksi kelapan inkues itu menyatakan, beliau mengeluarkan arahan berkenaan agar ibu bapa tidak risau.

“Tujuan utama saya supaya ibu bapa tidak risau. Memang itu tugas saya, (pastikan) supaya ibu bapa di rumah tidak risau dan saya tidak mahu ada berita tidak sohih keluar (tular),”katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, terdapat pelajar yang dibenarkan balik pada hari kejadian tersebut atas alasan sakit dan ‘nenek sedang nazak’.

Pada 11 September lalu, pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Linah Mansoding @ Jahila memberitahu, ketua warden asrama bernama Ustaz Azhari telah mengeluarkan arahan agar telefon awam di sekolah berkenaan ditutup bagi mengelakkan penghuni asrama menghubungi keluarga masing-masing.

Suis telefon awam itu didakwa ditutup selama dua hari.

Terdahulu ketika ditanya berhubung kelewatan membuat laporan polis atau menelefon pihak berkuasa lebih awal, Azhari memberitahu, selepas Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri, keutamaan adalah untuk menyelamatkan remaja itu.

Azhari turut mengikut ambulan yang membawa Zara Qairina ke Hospital Queen Elizabeth.

Tambahnya, beliau hanya membuat laporan polis sekitar pukul 8 pagi, 16 Julai lalu selepas diarahkan oleh doktor di Jabatan Kecemasan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN