PETALING JAYA: Penyanyi, Zizi Kirana dan pelakon, Ardelll Ariana berkongsi pengalaman penuh cabaran selepas menyertai misi pelayaran kemanusiaan ke Gaza yang memakan masa lapan hari sebelum tiba di Tunisia.
Ardell berkongsi, dia menaiki kapal Inana bersama sembilan kru lain dan berdepan ribut besar pada hari kedua pelayaran sehingga menyebabkan beberapa kerosakan pada kapal.
“SubhanAllah, pengalaman lapan hari itu sangat menguji, terutama bila terpaksa berdepan ribut yang membuatkan bot kecemasan dan tiang patah.
Tapi semua itu tidak seberapa dibandingkan dengan ujian saudara kita di Gaza,” ujarnya.
Zizi juga berkongsi pengalamannya menaiki Women’s Boat, iaitu kapal yang dianggotai sepenuhnya oleh kru dan peserta wanita.
“Alhamdulillah, walaupun ada yang bukan Muslim, mereka sangat memahami. Kami mudah menjaga aurat dan bergerak dengan selesa.
“Tapi bila tiba ribut melanda, tangga untuk naik ke atas pun patah laut bergelora sampai rasa badan ke kiri ke kanan. Itu semua buat saya lebih kuat,” ujarnya dalam hantaran video yang dimuat naik di Instagramnya.
Kedua-dua figura ini juga mengakui terpaksa melalui catuan makanan sepanjang pelayaran sehingga hanya makan sebiji epal, ada kalanya nasi sahaja.
Namun, mereka tetap bersyukur kerana masih ada bekalan berbanding keadaan rakyat Gaza yang lebih terhimpit.
“Misi ini bukan tentang kisah kami, tetapi tentang saudara di Gaza. Sumud Protila adalah harapan mereka untuk dapatkan makanan, susu bayi dan ubat-ubatan.
“Kami harap rakyat Malaysia terus mendoakan misi ini berjaya menembusi Blokade Gaza,” tambah mereka.-UTUSAN