NIBONG TEBAL : Kebakaran kawasan tapak pelupusan sampah di Sungai Burung hari ini hanya melibatkan kira-kira tiga peratus atau 0.24 hektar dari luas keseluruhan tapak tersebut iaitu kira-kira 10.5 hektar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis ketika mengesahkan perkara itu berkata, kebakaran dipercayai melibatkan longgokan sampah termasuk sisa pepejal di kawasan tapak pelupusan sampah Fasa 3 di situ.
Beliau berkata, kebakaran yang berlaku sejak pukul 6.39 pagi tadi itu pada mulanya telah berjaya dikawal kira-kira pukul 9.30 pagi.
Bagaimanapun katanya, kebakaran masih berlaku di bahagian bawah timbunan sehingga memaksa Pos Kawalan Bomba (PKB) dan Pengurusan Sistem Perintah dan Kawalan Insiden (ICS) di peringkat zon (Level II) diwujudkan.
“Kerja-kerja pemadaman dibahagikan kepada dua sektor iaitu A dan B dengan menggunakan sumber air dari tangki jentera dan ‘water tanker’ (tangki air) selain tindakan ‘fire break’ (mengawal kebakaran) dengan bantuan empat unit jengkaut untuk kerja-kerja mengorek serta pengasingan bagi mengelakkan kemerebakan yang lebih luas.

“Kebakaran seterusnya berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 4.05 petang dan operasi kemudian ditamatkan kira-kira sejam kemudian,” katanya yang memberitahu, tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut.
Pada 2022, tapak pelupusan sampah di Pulau Burung itu pernah diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap satu gara-gara kebakaran yang berpanjangan.
Ia mengambil masa selama beberapa minggu untuk dipadamkan sehingga menyebabkan sebahagian daripada penduduk di situ terpaksa dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat.-UTUSAN