Goran ‘bersara’ sebagai anjing K9

‘Goran seolah-olah tahu akan ‘bersara’, enggan berjauhan dengan saya’

M. SHIVABALAN bersama K9 Goran yang akan dijadikan haiwan peliharaan selepas bersara daripada perkhidmatan dalam PDRM pada Program Penyerahan Adopsi K9 PDRM di IPD Kuala Muda, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seekor anjing pengesan dari Unit K9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini menjadi haiwan pertama dalam unit itu yang akan meneruskan hidupnya di luar balai selepas ‘bersara’ daripada perkhidmatan.

Berbanding sebelum ini, K9 yang tidak lagi berkhidmat akan dijaga oleh pemegang atau pe­ngendalinya sehingga akhir hayat sebelum program adopsi dilaksanakan buat kali pertama sejak penubuhan unit itu pada 1968.

Ketua Penolong Pengarah D6 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zuraimi Zam Zam berkata, program adopsi mendapat kelulusan rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 16 Julai lalu.

“Proses adopsi K9 yang telah bersara akan melalui tapisan yang ketat demi memastikan pertimbangan hanya kepada adopter yang benar-benar layak dan mampu menjaga K9 tersebut terutamanya dari aspek kebajikan dan kesihatan.

“Keutamaan akan diberikan kepada pemegang K9 itu sendiri namun sekiranya tidak sesuai barulah akan dibuka kepada warga PDRM dan seterusnya kepada orang awam,” katanya selepas Program Penyerahan Adopsi K9 PDRM di sini, semalam.

Dalam program itu, K9 Goran yang merupakan seekor anjing dari baka German Shepherd yang diperoleh dari Czechoslovakia pada 2019 akan menjalani kehidupan biasa seperti haiwan peliharaan lain tanpa panggilan tugas atau latihan lasak.

Haiwan berumur lapan tahun dan berkhidmat bersama PDRM selama enam tahun sebelum di­bersarakan pada 16 Julai 2024 setelah membantu mengesan bahan kes di 60 lokasi kejadian jenayah, 213 kali membuat rondaan cegah jenayah dan 40 tugasan menjaga keamanan.

Antara kejayaan K9 Goran yang membanggakan adalah membantu dalam penyelesaian satu kes bunuh di Kampung Batu 7, Binjul Luar, Kuala Ketil pada tahun lalu.

Sementara itu, pengendalinya, Koperal M. Shivabalan, 38, berkata, dia melihat perubahan Goran yang telah bekerja bersamanya sejak hari pertama berada di negara ini enam tahun lalu dalam keadaan murung dan tidak berselera makan seolah-olah tahu akan berpisah.

“Kami seperti adik dan abang dan sejak tahu akan ditamatkan perkhidmatan, Goran menunjukkan perubahan ketara termasuk enggan berjauhan dari saya.

“Saya yang mengurus segala keperluan hariannya, menjaga­nya ketika sakit dan bekerja bersamanya pun turut terkesan dengan perpisahan ini, tapi apakan daya disebabkan masalah kesihatan tulang pinggulnya kami terpaksa berpisah,” katanya.

Penjaga baharu Goran yang juga pegawai polis, Inspektor Lee Sheng Wey yang bertugas di Unit D9 JSJ Perak berkata, beliau akan menjaga anjing itu sebaiknya agar dapat membiasakan diri seperti anjing peliharaannya yang lain.

“Saya mahu beri Goran kehidupan biasa seperti anjing lain. Ia boleh bebas bergerak dalam rumah, keluar berjalan-jalan dan tidak terkurung. Kawasan rumah saya agak lapang, dan saya pun ada beberapa ekor anjing lain di rumah, jadi kami akan layan dia seperti keluarga sendiri.

“Kalau Goran rindukan suasana bertugas, saya boleh pasang bunyi siren polis atau beri ruang dia rasa dekat dengan pengalaman lamanya, Shivabalan pun boleh datang melawatnya bila-bila masa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN